Monday, January 1, 2024

Salam 2024

 Bismillahirrahmanirrahim.


Yang pertama, aku bersyukur kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnianya, aku dapat menyambut tahun 2024. Masih belum terlambat untuk aku memulakan tahun baru dengan semangat dan azam baru.

Tahun 2023 sudah pun berlalu. Kini 2024 sudah menjelma. Setahun lagi umur kita bertambah dengan harapan pemikiran semakin matang sebanyak usia bertambah. Apa yang penting adalah untuk tahun 2024, apa pengisian dan perubahan yang aku harapkan.

Merenung sejenak apa yang aku ingin capai pada tahun 2023, tetapi tidak kesampaian - salah satu darinya adalah untuk menulis di blog ini dengan lebih berdisiplin dan lebih konsisten. Jadi untuk tahun 2024, satu dari resolusi yang aku tetapkan pada diri aku adalah untuk meningkatkan disiplin diri, dari segala sudut, termasuk dengan menulis pada blog ini. Aku jadikan sebagai satu ukuran sejauh mana aku dapat mendisiplinkan diri. Pada hemat aku, sekiranya aku dapat kekal mengemasikini dan menulis di blog ini pada setiap minggu sepanjang tahun ini, ini adalah satu kemenangan besar dalam usaha membuat perubahan dalam sikap dan kekuatan diri.

Semoga hari ini adalah satu permulaan baru yang akan melangkah hari-hari yang seterusnya.

Friday, April 21, 2023

30 Ramadan 1444

Lambaian akhir Ramadan. Mentari Ramadan melabuh diri hari ini membawa bersama suka-duka Ramadan kali ini. 

Ramadan bulan penuh keberkatan dan kemuliaan. Sama-sama kita berdoa agar segala amalan dibulan Ramadan dimasukkan sebagai amal kebajikan. Kita melalui lailatul qada, malam digandakan amalan seribu bulan, dengan penuh amal ibadat yang diterima Allah swt. 

Sebagai bulan untuk melatih diri. Semoga dada dipenuhi dengan ilmu dan amal yang lebih mendekatkan diri kepada Allah swt. Juga merapatkan diri dengan saudara-mara Islam, dekat atau jauh, kenal atau tidak kenal tetapi kita semua adalah bersaudara. Juga dibulan ini semoga kita lebih mengenali diri dan lebih tahu untuk memperbaiki diri kearah menjadi muslim yang sejati dan sentiasa berada dalam petunjuk dan perlindungan Allah. 

Dalam beberapa ketika lagi, Syawal bakal menjelma. Kita sambut sebagai sebuah kejayaan dalam perjuangan. 

Salam 
5.22 pm
21 April 2023

Monday, March 27, 2023

5 Ramadhan

Masa begitu cepat berlalu… atau pun aku yang tidak efisyen dengan masa? Sudah tentu ini bukan perkara baru, tetapi adalah sangat bermanafaat bagi aku untuk memperbaharui tentang nilainya MASA. Ramadhan mengajar tentang betapa tingginya nilai masa. Dengan satu saat terlebih atau terkurang, sekiranya tidak ditepati, ibadah puasa terbatal. Waktu berhenti makan (masuk waktu Subuh) dan waktu berbuka (masuk waktu Maghrib) perlu dipatuhi dengan betul. Inilah waktu sebenar puasa ibadat puasa. Sudah tentu ada pengisian dengan ibadat dan amalan yang lain, inilah yang dikatakan bulan yang mulia, bulan penuh dengan keberkatan. Dan bagi aku, ianya adalah satu “madrasah” - aku perlu isikan bulan ini untuk berubah.

Berbalik kepada “masa”. Menyusun atur keutamaan aktiviti untuk memanafaatkan sebulan bulan Ramadhan begitu ketara. Utamakan yang utama - first thing first - aku cuba amalkan. Aku teringan dengan “80:20 rule” - lakukan top 20 peratus aktivit yang memberi impak kepada 80 peratus hasil. Ianya terlalu rethoric, namun cukup sebagai panduan dan ingatan untuk aku selalu berada pada arah yang betul.

Ini mengingatkan aku supaya ingatkan bahawa detik Ramadhan sedang berjalan. Setiap saat dikira. Banyak perkara yang aku ingin lakukan - kerana memang rutin; sesuatu yang menyeronokkan; atau sesuatu yang membantu untuk mencapai impian pada masa hadapan. Senarai akitiviti yang ingin dilakukan itu seperti bertelagah dan berebut-rebut untuk dilakukan. Sebab itulah aku perlu selalu ingatkan diri dengan “first thing first”. (Pasal ingatkan diri, aku teringat dengan  buku “You are The Placebo” oleh Joe Dispenza dan buku “You are Not Your Brain” oleh Jeffrey M. Schwartz). Buku ini memperkatakan kita perlu mengawal otak kita dengan memberi arahan yang betul, ataupun yang kita kehendaki. Jadi, aku perlu jadikan Ramadhan sebagai satu landasan untuk perbaiki diri.

Aku harap aku berada pada landasan yang betul pada hari ke-5 Ramadhan.

Jumpa lagi.

Saturday, March 25, 2023

Permulaan yang menarik

Ramadhan ke-4

Hari ini Sabtu, Ramadhan ke-4. Alhamdulillah, suasana Ramadhan dan rutin Ramadhan sudah bermula. Aku berharap Ramadhan 1444 lebih baik dari Ramadhan sebelum ini. Ramadhan adalah “madrasah” dan peluang yang besar untuk transformasi diri. Personal development dan wellness adalah perkara yang aku ingin fokus pada tahun ini. Aku berharap dengan berkat Ramadhan dan suasana yang positif, aku mendapat kekuatan untuk meningkatkan jati diri.

 

Thursday, March 23, 2023

Ramadhan kareem

1 Ramadhan 1444

Alhamdulillah, dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim, aku masih sekali lagi menemui Ramadhan pada tahun ini. Ramai antara sahabat kita yang pergi dahulu menemui  Allah sebelum datangnya Ramadhan kali ini. 

Ramadhan bulan yang mulia dan penuh berkat. Juga bulan ini ada bulan yang penuh dengan kemudahan untuk merubah dan membuat transformasi diri kepada yang lebih baik. Bulan ini sangat kondusif sebagai permulaan untuk reset siri kita bagi memulakan habit baru. 

Banyak perkara yang ada dalam fikiran untuk aku lakukan. Aku bimbang kerana terlalu excited, semuanya tidak berjalan. Lebih baik aku fokus kepada beberapa yang utama sahaja dan pastikan aku dapat melakukannya dengan terbaik. 

Ramadhan banyak berkait dengan makan dan pemakanan. Ini adalah satu perkara yang aku perlu ubah. Ramadhan bukan bulan untuk menjamu selera dengan berbagai-bagai juadah yang lazat. Cukuplah dulu dengan budaya Ramadhan sebagai sambutan juadah berbagai jenis, bagi diri aku. Sudah sampai masa aku fokus kepada jenis makanan yang sesuai berbuka dan bersahur. Juga yang akan menjadikan aku selesa untuk sedikit-sebanyak beribadat. Kalau terlebih makan nanti tidak selesa pula untuk bersolat dan sebagainya. Kembali ke pangkal jalan….😁

Baru hari pertama Ramadhan. Aku berdoa Allah berikan kekuatan kepada diri aku dan juga kita semua agar Ramadhan kali ini adalah yang terbaik, yang dapat mengislahkan diri kita dan lebih dekat kepada Allah swt. 


Wednesday, August 3, 2022

Maal Hijrah 1444


Kita berada di pertengahan bulan Muharram, bulan pertama tahun Hijrah. Masih relevan untuk bersembang tentang maal hijrah dan kisah teladan penghijrahan Rasulullah saw. Sebagaimana lumrah, bermacam-macam cara umat Islam menyambut dan meraikan tahun baru Hijrah. Disebalik Maal Hijrah itu, ada kisah penghijrahan Rasullulullah dan beberapa sahabat. 

Dengan perintah Allah SWT, Rasullullah berhijrah dari bumi Mekah ke Yathrib. Mereka meninggalkan segala harta benda, binatang ternakan dan saudara-mara atas kepentingan mempertahankan Islam. Pada awal dakwah Rasulullah di kota Mekah, tentangan pihak kafir Quraish terlalu kuat memaksa untuk Rasullullah SAW melakukan penghijrahan. 

Peristiwa hijrah penting dalam sejarah perkembangan Islam.  Selepas penghijrahan, Rasullullah SAW berjaya mendamaikan golongan Ansar dan Muhajirin. Diketuai oleh Rasullullah SAW, umat Islam di Yathrib, kemudian dikenali sebagai Madinah, berjaya membangunkan Madinah sebagai pusat perkembangan Islam. Dakwah Islamiah dapat dijalan dan disebarkan dengan aman. Penyebaran Islam menjadi semakin luas sehingga keluar dari tanah Arab.

Dari peristiwa hijrah, banyak hikmat dan pengajaran dapat kita ambil. Hijrah diri dengan melakukan transformasi diri dari baik kepada yang lebih baik, dari biasa-biasa kepada yang cemerlang dan gemilang, itulah harapan dan tujuan penghijrahan. Namun, untuk berhijrah dalam kehidupan, adalah satu perkara yang mencabar dan berdepan dengan banyak persoalan yang tidak ada siapapun ada jawapannya. Jawapan hanya akan tersingkap dengan dengan langkah pertama penghijrahan bermula. Langkah demi langkah, peringkat demi peringkat, proses hijrah ini membuka lebaran baru dalam pengalaman dan pengajaran. 

Di dalam perjalanan, cabaran ditempuhi dengan penuh tabah dan ketika itulah banyak keputusan perlu dibuat diatas pilihan yang ada. Sekiranya niat dan tujuan hijrah itu jelas dan ikhlas, itulah yang akan terus mendorong kita untuk terus berjalan ke depan. Cabaran pasti mendatang. Memang hukum alam, untuk kita mancapai sesuatu matlamat,  cabaran pasti datang. Untuk mencapainya, perlu disertakan dengan usaha gigih. Mereka yang sanggup menghadapi cabaran, tanpa mengira penat lelah atau apa orang kata, disertakan dengan doa dan harapan kepada Allah swt, impian pasti tercapai.

Oleh itu, untuk berhijrah dan melakukan transformasi diri, yang pertama, lakarkan impian yang besar dengan jelas, nekad dan buat keputusan yang kukuh untuk berubah.  Mulakan langkah pertama anda hari ini. Pilihlah untuk berubah kerana hidup ini adalah pilihan.

Wassalam, jumpa lagi.

Wednesday, April 13, 2022

12 Ramadhan 1443H

12 hari berpuasa, sudah hampir mencecah separuh Ramadhan berpuasa. Puasa menahan makan dan minum masih seperti biasa. 10 hari pertama puasa, tubuh kita dalam peralihan kepada rutin makan yang berlainan. Kini masuk fasa kedua. 

Selalunya tubuh sudah memberi tindak balas kepada rutin baru ini. Itu yang aku rasakan. Terasa sedikit lemah pada waktu siang. Rasa mengantuk dan tidak dapat beri fokus yang berterusan terutama pada aktiviti yang perlukan fokus yang kuat seperti membaca. Sekiranya mengantuk, aku baring dan lelapkan mata sekejap. InsyaAllah selepas 10 atau 15 minit, tubuh kembali segar. Sambung semula aktiviti. 

Bulan Ramadhan adalah bulan mendidik diri dengan disiplin. Namun aku masih lagi struggle. Cabaran paling besar adalah untuk kekal konsisten dengan jadual harian. Pembacaan Al Quran adalah antara yang utama. Setiap hari aku menjadual untuk membaca satu juzuk atau lebih. Masih banyak juzuk yang perlu kejar untuk khatam 30 juzuk bulan Ramadhan. 

Semoga segala amalan diterima Allah sebagai amal kebajikan. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails