Wednesday, October 21, 2026

Menjelang tengah malam

Hanya beberapa minit lagi menjelang 1 pagi. Aku masih lagi di depan tablet untuk menghabiskan waktu malam ini dengan membuat sedikit catatan. Aku harap besok, apabila aku bangun dari tidur, aku mulakan hari baru dengan terang tanpa jerebu lagi. Jerebu dah banyak ganggu rutin harian aku. Bukan aku saja, tapi seluruh rakyat Malaysia dan semua negara jiran. Sampai bila lagi aku nak lalu perkara sama berlaku pada setiap tahun. Ada orang tidak mahu belajar dan tidak mahu berubah. Semenjak beberapa tahun yang lepas, entah berapa tahun yang lepas, dah tak ada dalam ingatan aku, dan aku memang tak nak ingat pun, jerebu pasti akan datang. Dan datang dari punca yang sama, perbuatan manusia yang entah aku tidak pasti apa pemikiran dan mindset yang ada.

Aku cuba untuk mengabaikan dari memikirkan isu jerebu ini. Sudah tentu ianya diluar kawalan kita. Tak ada apa yang boleh dibuat untuk menghalang jerebu dari datang kepada aku. Aku melalak ke, aku marah ke, datang juga jerebu. Aku masih bersyukur kerana kesihatan aku dan keluarga aku masih bagus dan tidak terjejas. Namun aktiviti dan rutin harian terganggu. Kalau sebelum ini, bila berkesempatan, aku tidak akan miss untuk beriadah dan exercise di taman-taman. Kini, dah beberapa bulan aku cuma ada indoor aktiviti.

Hari-hari masih kelam. Aku harap jerebu ini akan cepat berlalu.

Jumpa lagi hari esok yang tiada jerebu.

Sunday, September 20, 2026

Aku Kembali, Dengan Jerebu Sekali

Dah lama aku tak menulis di sini. Terlalu lama, sampai aku sendiri hampir lupa macam mana rasanya menaip cerita untuk dibaca orang.

Hari ni aku di Terengganu, balik kampung. Pagi tadi aku bangun, buka tingkap, dan langit nampak malas nak bercahaya. Kelabu, berkabus, dan ada bau jerebu yang samar. Tak macam biasa.

Bila balik kampung, rutin aku mudah sahaja. Kalau tak naik Bukit Besar untuk healing, aku brisk walk di Pantai Batu Buruk sambil dengar bunyi ombak. Tak perlu banyak alasan. Lepas berpeluh sikit, kepala jadi ringan dan hati pun tenang. Terus menuju gerai nasi dagang.

Tapi kali ni? Aku kena tahan dulu. Bila udara tak bersih, aku pilih untuk kurangkan aktiviti luar. Nak jaga badan pun kena bijak, bukan redah saja.

Bila rancangan tak menjadi

Jujurnya, aku sempat rasa sedikit hampa. Dah rancang nak bergerak, tapi alam ada rancangan lain. Tapi tak lama pun rasa tu. Aku ingat satu benda mudah:

Tujuan kita tak berubah. Cara sahaja yang kadang-kadang kena tukar.

Nak sihat tu tujuan. Bukit Besar atau Batu Buruk cuma salah satu cara. Hari ni aku ganti dengan regangan ringan dan senaman dalam rumah, dan banyak minum air. Simple sahaja, tapi cukup untuk aku rasa masih bergerak ke depan.

Rasanya sama juga dengan bisnes dan hidup. Kadang-kadang jalan yang kita rancang tertutup, dan kita cuma perlu cari jalan lain.

Kenapa aku mula menulis semula

Aku nak blog ni jadi ruang santai untuk kita bersembang tentang tiga perkara yang aku percaya penting:

  • Kesihatan: jaga badan dengan cara yang realistik
  • Mindset: cara berfikir bila keadaan tak menyebelahi
  • Bisnes: belajar dan bertumbuh, sikit demi sikit

Tak perlu formal. Baca sambil minum kopi dengan cincah roti bakar pun cukup. Kalau ada satu ayat yang buat kau senyum atau terfikir, aku dah cukup gembira.

Untuk hari ni

Aku nak buat tiga perkara kecil:

  1. Semak bacaan IPU sebelum keluar rumah. 
  2. Minum air cukup-cukup.
  3. Rancang trip Bukit Besar bila langit dah cerah semula.

Kau pula bagaimana? Bila cuaca atau keadaan tak menyebelahi, apa kau buat untuk kekal bergerak? Kongsi di ruang komen, aku nak baca.

Jumpa lagi dalam catatan seterusnya.

Saiful Jusoh 

Kesihatan. Mindset. Bisnes.


Monday, January 1, 2024

Salam 2024

 Bismillahirrahmanirrahim.


Yang pertama, aku bersyukur kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnianya, aku dapat menyambut tahun 2024. Masih belum terlambat untuk aku memulakan tahun baru dengan semangat dan azam baru.

Tahun 2023 sudah pun berlalu. Kini 2024 sudah menjelma. Setahun lagi umur kita bertambah dengan harapan pemikiran semakin matang sebanyak usia bertambah. Apa yang penting adalah untuk tahun 2024, apa pengisian dan perubahan yang aku harapkan.

Merenung sejenak apa yang aku ingin capai pada tahun 2023, tetapi tidak kesampaian - salah satu darinya adalah untuk menulis di blog ini dengan lebih berdisiplin dan lebih konsisten. Jadi untuk tahun 2024, satu dari resolusi yang aku tetapkan pada diri aku adalah untuk meningkatkan disiplin diri, dari segala sudut, termasuk dengan menulis pada blog ini. Aku jadikan sebagai satu ukuran sejauh mana aku dapat mendisiplinkan diri. Pada hemat aku, sekiranya aku dapat kekal mengemasikini dan menulis di blog ini pada setiap minggu sepanjang tahun ini, ini adalah satu kemenangan besar dalam usaha membuat perubahan dalam sikap dan kekuatan diri.

Semoga hari ini adalah satu permulaan baru yang akan melangkah hari-hari yang seterusnya.

Friday, April 21, 2023

30 Ramadan 1444

Lambaian akhir Ramadan. Mentari Ramadan melabuh diri hari ini membawa bersama suka-duka Ramadan kali ini. 

Ramadan bulan penuh keberkatan dan kemuliaan. Sama-sama kita berdoa agar segala amalan dibulan Ramadan dimasukkan sebagai amal kebajikan. Kita melalui lailatul qada, malam digandakan amalan seribu bulan, dengan penuh amal ibadat yang diterima Allah swt. 

Sebagai bulan untuk melatih diri. Semoga dada dipenuhi dengan ilmu dan amal yang lebih mendekatkan diri kepada Allah swt. Juga merapatkan diri dengan saudara-mara Islam, dekat atau jauh, kenal atau tidak kenal tetapi kita semua adalah bersaudara. Juga dibulan ini semoga kita lebih mengenali diri dan lebih tahu untuk memperbaiki diri kearah menjadi muslim yang sejati dan sentiasa berada dalam petunjuk dan perlindungan Allah. 

Dalam beberapa ketika lagi, Syawal bakal menjelma. Kita sambut sebagai sebuah kejayaan dalam perjuangan. 

Salam 
5.22 pm
21 April 2023

Monday, March 27, 2023

5 Ramadhan

Masa begitu cepat berlalu… atau pun aku yang tidak efisyen dengan masa? Sudah tentu ini bukan perkara baru, tetapi adalah sangat bermanafaat bagi aku untuk memperbaharui tentang nilainya MASA. Ramadhan mengajar tentang betapa tingginya nilai masa. Dengan satu saat terlebih atau terkurang, sekiranya tidak ditepati, ibadah puasa terbatal. Waktu berhenti makan (masuk waktu Subuh) dan waktu berbuka (masuk waktu Maghrib) perlu dipatuhi dengan betul. Inilah waktu sebenar puasa ibadat puasa. Sudah tentu ada pengisian dengan ibadat dan amalan yang lain, inilah yang dikatakan bulan yang mulia, bulan penuh dengan keberkatan. Dan bagi aku, ianya adalah satu “madrasah” - aku perlu isikan bulan ini untuk berubah.

Berbalik kepada “masa”. Menyusun atur keutamaan aktiviti untuk memanafaatkan sebulan bulan Ramadhan begitu ketara. Utamakan yang utama - first thing first - aku cuba amalkan. Aku teringan dengan “80:20 rule” - lakukan top 20 peratus aktivit yang memberi impak kepada 80 peratus hasil. Ianya terlalu rethoric, namun cukup sebagai panduan dan ingatan untuk aku selalu berada pada arah yang betul.

Ini mengingatkan aku supaya ingatkan bahawa detik Ramadhan sedang berjalan. Setiap saat dikira. Banyak perkara yang aku ingin lakukan - kerana memang rutin; sesuatu yang menyeronokkan; atau sesuatu yang membantu untuk mencapai impian pada masa hadapan. Senarai akitiviti yang ingin dilakukan itu seperti bertelagah dan berebut-rebut untuk dilakukan. Sebab itulah aku perlu selalu ingatkan diri dengan “first thing first”. (Pasal ingatkan diri, aku teringat dengan  buku “You are The Placebo” oleh Joe Dispenza dan buku “You are Not Your Brain” oleh Jeffrey M. Schwartz). Buku ini memperkatakan kita perlu mengawal otak kita dengan memberi arahan yang betul, ataupun yang kita kehendaki. Jadi, aku perlu jadikan Ramadhan sebagai satu landasan untuk perbaiki diri.

Aku harap aku berada pada landasan yang betul pada hari ke-5 Ramadhan.

Jumpa lagi.

Saturday, March 25, 2023

Permulaan yang menarik

Ramadhan ke-4

Hari ini Sabtu, Ramadhan ke-4. Alhamdulillah, suasana Ramadhan dan rutin Ramadhan sudah bermula. Aku berharap Ramadhan 1444 lebih baik dari Ramadhan sebelum ini. Ramadhan adalah “madrasah” dan peluang yang besar untuk transformasi diri. Personal development dan wellness adalah perkara yang aku ingin fokus pada tahun ini. Aku berharap dengan berkat Ramadhan dan suasana yang positif, aku mendapat kekuatan untuk meningkatkan jati diri.

 

Thursday, March 23, 2023

Ramadhan kareem

1 Ramadhan 1444

Alhamdulillah, dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim, aku masih sekali lagi menemui Ramadhan pada tahun ini. Ramai antara sahabat kita yang pergi dahulu menemui  Allah sebelum datangnya Ramadhan kali ini. 

Ramadhan bulan yang mulia dan penuh berkat. Juga bulan ini ada bulan yang penuh dengan kemudahan untuk merubah dan membuat transformasi diri kepada yang lebih baik. Bulan ini sangat kondusif sebagai permulaan untuk reset siri kita bagi memulakan habit baru. 

Banyak perkara yang ada dalam fikiran untuk aku lakukan. Aku bimbang kerana terlalu excited, semuanya tidak berjalan. Lebih baik aku fokus kepada beberapa yang utama sahaja dan pastikan aku dapat melakukannya dengan terbaik. 

Ramadhan banyak berkait dengan makan dan pemakanan. Ini adalah satu perkara yang aku perlu ubah. Ramadhan bukan bulan untuk menjamu selera dengan berbagai-bagai juadah yang lazat. Cukuplah dulu dengan budaya Ramadhan sebagai sambutan juadah berbagai jenis, bagi diri aku. Sudah sampai masa aku fokus kepada jenis makanan yang sesuai berbuka dan bersahur. Juga yang akan menjadikan aku selesa untuk sedikit-sebanyak beribadat. Kalau terlebih makan nanti tidak selesa pula untuk bersolat dan sebagainya. Kembali ke pangkal jalan….😁

Baru hari pertama Ramadhan. Aku berdoa Allah berikan kekuatan kepada diri aku dan juga kita semua agar Ramadhan kali ini adalah yang terbaik, yang dapat mengislahkan diri kita dan lebih dekat kepada Allah swt. 


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails