Monday, January 1, 2024

Salam 2024

 Bismillahirrahmanirrahim.


Yang pertama, aku bersyukur kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnianya, aku dapat menyambut tahun 2024. Masih belum terlambat untuk aku memulakan tahun baru dengan semangat dan azam baru.

Tahun 2023 sudah pun berlalu. Kini 2024 sudah menjelma. Setahun lagi umur kita bertambah dengan harapan pemikiran semakin matang sebanyak usia bertambah. Apa yang penting adalah untuk tahun 2024, apa pengisian dan perubahan yang aku harapkan.

Merenung sejenak apa yang aku ingin capai pada tahun 2023, tetapi tidak kesampaian - salah satu darinya adalah untuk menulis di blog ini dengan lebih berdisiplin dan lebih konsisten. Jadi untuk tahun 2024, satu dari resolusi yang aku tetapkan pada diri aku adalah untuk meningkatkan disiplin diri, dari segala sudut, termasuk dengan menulis pada blog ini. Aku jadikan sebagai satu ukuran sejauh mana aku dapat mendisiplinkan diri. Pada hemat aku, sekiranya aku dapat kekal mengemasikini dan menulis di blog ini pada setiap minggu sepanjang tahun ini, ini adalah satu kemenangan besar dalam usaha membuat perubahan dalam sikap dan kekuatan diri.

Semoga hari ini adalah satu permulaan baru yang akan melangkah hari-hari yang seterusnya.

Friday, April 21, 2023

30 Ramadan 1444

Lambaian akhir Ramadan. Mentari Ramadan melabuh diri hari ini membawa bersama suka-duka Ramadan kali ini. 

Ramadan bulan penuh keberkatan dan kemuliaan. Sama-sama kita berdoa agar segala amalan dibulan Ramadan dimasukkan sebagai amal kebajikan. Kita melalui lailatul qada, malam digandakan amalan seribu bulan, dengan penuh amal ibadat yang diterima Allah swt. 

Sebagai bulan untuk melatih diri. Semoga dada dipenuhi dengan ilmu dan amal yang lebih mendekatkan diri kepada Allah swt. Juga merapatkan diri dengan saudara-mara Islam, dekat atau jauh, kenal atau tidak kenal tetapi kita semua adalah bersaudara. Juga dibulan ini semoga kita lebih mengenali diri dan lebih tahu untuk memperbaiki diri kearah menjadi muslim yang sejati dan sentiasa berada dalam petunjuk dan perlindungan Allah. 

Dalam beberapa ketika lagi, Syawal bakal menjelma. Kita sambut sebagai sebuah kejayaan dalam perjuangan. 

Salam 
5.22 pm
21 April 2023

Monday, March 27, 2023

5 Ramadhan

Masa begitu cepat berlalu… atau pun aku yang tidak efisyen dengan masa? Sudah tentu ini bukan perkara baru, tetapi adalah sangat bermanafaat bagi aku untuk memperbaharui tentang nilainya MASA. Ramadhan mengajar tentang betapa tingginya nilai masa. Dengan satu saat terlebih atau terkurang, sekiranya tidak ditepati, ibadah puasa terbatal. Waktu berhenti makan (masuk waktu Subuh) dan waktu berbuka (masuk waktu Maghrib) perlu dipatuhi dengan betul. Inilah waktu sebenar puasa ibadat puasa. Sudah tentu ada pengisian dengan ibadat dan amalan yang lain, inilah yang dikatakan bulan yang mulia, bulan penuh dengan keberkatan. Dan bagi aku, ianya adalah satu “madrasah” - aku perlu isikan bulan ini untuk berubah.

Berbalik kepada “masa”. Menyusun atur keutamaan aktiviti untuk memanafaatkan sebulan bulan Ramadhan begitu ketara. Utamakan yang utama - first thing first - aku cuba amalkan. Aku teringan dengan “80:20 rule” - lakukan top 20 peratus aktivit yang memberi impak kepada 80 peratus hasil. Ianya terlalu rethoric, namun cukup sebagai panduan dan ingatan untuk aku selalu berada pada arah yang betul.

Ini mengingatkan aku supaya ingatkan bahawa detik Ramadhan sedang berjalan. Setiap saat dikira. Banyak perkara yang aku ingin lakukan - kerana memang rutin; sesuatu yang menyeronokkan; atau sesuatu yang membantu untuk mencapai impian pada masa hadapan. Senarai akitiviti yang ingin dilakukan itu seperti bertelagah dan berebut-rebut untuk dilakukan. Sebab itulah aku perlu selalu ingatkan diri dengan “first thing first”. (Pasal ingatkan diri, aku teringat dengan  buku “You are The Placebo” oleh Joe Dispenza dan buku “You are Not Your Brain” oleh Jeffrey M. Schwartz). Buku ini memperkatakan kita perlu mengawal otak kita dengan memberi arahan yang betul, ataupun yang kita kehendaki. Jadi, aku perlu jadikan Ramadhan sebagai satu landasan untuk perbaiki diri.

Aku harap aku berada pada landasan yang betul pada hari ke-5 Ramadhan.

Jumpa lagi.

Saturday, March 25, 2023

Permulaan yang menarik

Ramadhan ke-4

Hari ini Sabtu, Ramadhan ke-4. Alhamdulillah, suasana Ramadhan dan rutin Ramadhan sudah bermula. Aku berharap Ramadhan 1444 lebih baik dari Ramadhan sebelum ini. Ramadhan adalah “madrasah” dan peluang yang besar untuk transformasi diri. Personal development dan wellness adalah perkara yang aku ingin fokus pada tahun ini. Aku berharap dengan berkat Ramadhan dan suasana yang positif, aku mendapat kekuatan untuk meningkatkan jati diri.

 

Thursday, March 23, 2023

Ramadhan kareem

1 Ramadhan 1444

Alhamdulillah, dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim, aku masih sekali lagi menemui Ramadhan pada tahun ini. Ramai antara sahabat kita yang pergi dahulu menemui  Allah sebelum datangnya Ramadhan kali ini. 

Ramadhan bulan yang mulia dan penuh berkat. Juga bulan ini ada bulan yang penuh dengan kemudahan untuk merubah dan membuat transformasi diri kepada yang lebih baik. Bulan ini sangat kondusif sebagai permulaan untuk reset siri kita bagi memulakan habit baru. 

Banyak perkara yang ada dalam fikiran untuk aku lakukan. Aku bimbang kerana terlalu excited, semuanya tidak berjalan. Lebih baik aku fokus kepada beberapa yang utama sahaja dan pastikan aku dapat melakukannya dengan terbaik. 

Ramadhan banyak berkait dengan makan dan pemakanan. Ini adalah satu perkara yang aku perlu ubah. Ramadhan bukan bulan untuk menjamu selera dengan berbagai-bagai juadah yang lazat. Cukuplah dulu dengan budaya Ramadhan sebagai sambutan juadah berbagai jenis, bagi diri aku. Sudah sampai masa aku fokus kepada jenis makanan yang sesuai berbuka dan bersahur. Juga yang akan menjadikan aku selesa untuk sedikit-sebanyak beribadat. Kalau terlebih makan nanti tidak selesa pula untuk bersolat dan sebagainya. Kembali ke pangkal jalan….😁

Baru hari pertama Ramadhan. Aku berdoa Allah berikan kekuatan kepada diri aku dan juga kita semua agar Ramadhan kali ini adalah yang terbaik, yang dapat mengislahkan diri kita dan lebih dekat kepada Allah swt. 


Wednesday, August 3, 2022

Maal Hijrah 1444


Kita berada di pertengahan bulan Muharram, bulan pertama tahun Hijrah. Masih relevan untuk bersembang tentang maal hijrah dan kisah teladan penghijrahan Rasulullah saw. Sebagaimana lumrah, bermacam-macam cara umat Islam menyambut dan meraikan tahun baru Hijrah. Disebalik Maal Hijrah itu, ada kisah penghijrahan Rasullulullah dan beberapa sahabat. 

Dengan perintah Allah SWT, Rasullullah berhijrah dari bumi Mekah ke Yathrib. Mereka meninggalkan segala harta benda, binatang ternakan dan saudara-mara atas kepentingan mempertahankan Islam. Pada awal dakwah Rasulullah di kota Mekah, tentangan pihak kafir Quraish terlalu kuat memaksa untuk Rasullullah SAW melakukan penghijrahan. 

Peristiwa hijrah penting dalam sejarah perkembangan Islam.  Selepas penghijrahan, Rasullullah SAW berjaya mendamaikan golongan Ansar dan Muhajirin. Diketuai oleh Rasullullah SAW, umat Islam di Yathrib, kemudian dikenali sebagai Madinah, berjaya membangunkan Madinah sebagai pusat perkembangan Islam. Dakwah Islamiah dapat dijalan dan disebarkan dengan aman. Penyebaran Islam menjadi semakin luas sehingga keluar dari tanah Arab.

Dari peristiwa hijrah, banyak hikmat dan pengajaran dapat kita ambil. Hijrah diri dengan melakukan transformasi diri dari baik kepada yang lebih baik, dari biasa-biasa kepada yang cemerlang dan gemilang, itulah harapan dan tujuan penghijrahan. Namun, untuk berhijrah dalam kehidupan, adalah satu perkara yang mencabar dan berdepan dengan banyak persoalan yang tidak ada siapapun ada jawapannya. Jawapan hanya akan tersingkap dengan dengan langkah pertama penghijrahan bermula. Langkah demi langkah, peringkat demi peringkat, proses hijrah ini membuka lebaran baru dalam pengalaman dan pengajaran. 

Di dalam perjalanan, cabaran ditempuhi dengan penuh tabah dan ketika itulah banyak keputusan perlu dibuat diatas pilihan yang ada. Sekiranya niat dan tujuan hijrah itu jelas dan ikhlas, itulah yang akan terus mendorong kita untuk terus berjalan ke depan. Cabaran pasti mendatang. Memang hukum alam, untuk kita mancapai sesuatu matlamat,  cabaran pasti datang. Untuk mencapainya, perlu disertakan dengan usaha gigih. Mereka yang sanggup menghadapi cabaran, tanpa mengira penat lelah atau apa orang kata, disertakan dengan doa dan harapan kepada Allah swt, impian pasti tercapai.

Oleh itu, untuk berhijrah dan melakukan transformasi diri, yang pertama, lakarkan impian yang besar dengan jelas, nekad dan buat keputusan yang kukuh untuk berubah.  Mulakan langkah pertama anda hari ini. Pilihlah untuk berubah kerana hidup ini adalah pilihan.

Wassalam, jumpa lagi.

Wednesday, April 13, 2022

12 Ramadhan 1443H

12 hari berpuasa, sudah hampir mencecah separuh Ramadhan berpuasa. Puasa menahan makan dan minum masih seperti biasa. 10 hari pertama puasa, tubuh kita dalam peralihan kepada rutin makan yang berlainan. Kini masuk fasa kedua. 

Selalunya tubuh sudah memberi tindak balas kepada rutin baru ini. Itu yang aku rasakan. Terasa sedikit lemah pada waktu siang. Rasa mengantuk dan tidak dapat beri fokus yang berterusan terutama pada aktiviti yang perlukan fokus yang kuat seperti membaca. Sekiranya mengantuk, aku baring dan lelapkan mata sekejap. InsyaAllah selepas 10 atau 15 minit, tubuh kembali segar. Sambung semula aktiviti. 

Bulan Ramadhan adalah bulan mendidik diri dengan disiplin. Namun aku masih lagi struggle. Cabaran paling besar adalah untuk kekal konsisten dengan jadual harian. Pembacaan Al Quran adalah antara yang utama. Setiap hari aku menjadual untuk membaca satu juzuk atau lebih. Masih banyak juzuk yang perlu kejar untuk khatam 30 juzuk bulan Ramadhan. 

Semoga segala amalan diterima Allah sebagai amal kebajikan. 

Sunday, April 10, 2022

8 Ramadan 1443H

Sudah lapan hari berpuasa, syukur kerana masih diberi peluang oleh Allah SWT dengan nikmat beribadah. Walaupun begitu saya masih berusaha keras untuk membuat yang lebih baik. 

Ramadan adalah bulan bagi melatih diri dan membina disiplin. Pada zahir atau luaran hanya menahan lapar dan dahaga selain dari menjauhkan dari segala perkara-membatalkan puasa. Namun pada diri individu, ianya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa, sekiranya dilakukan dengan sempurna, ianya dapat menanam disiplin diri yang tinggi. Dengan disiplin yang tinggi, ianya adalah asas kepada transformasi diri sendiri.

Jadi pada bulan Ramadan ini adalah satu bulan yang sesuai bagi memperbaiki mindset dan  habit. Puasa memberi satu suasana yang dengannya mudah untuk kita melakukan perubahan dalam diri. Ini kita lakukan semasa sebulan dalam keadaan berpuasa yang mendidik kita supaya tinggi disiplin diri.

Sebulan berpuasa, sebulan mendidik diri. Semoga dipenghujung Ramadan, diri dan minda akan terdidik dan berlakunya tranformasi dalaman.

 

Sunday, April 3, 2022

Ramadhan Kareem 1443

Alhamdulillah. Segala kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan keizinanNya aku berjumpa Ramadhan sekali lagi pada tahun ini. Buat kali pertama semenjak dua tahun yang lepas, Ramadhan kali ini kita dapat menikmati solat berjemaah Tarawih di surau. Tiada penjarakan walaupun masih dengan mask dan sejadah yang berasingan. 

Kenangan berkurung di rumah, bersolat tarawih di rumah selama dua tahun bersama ahli keluarga, bila dikenang, pilu rasanya. Hanya mendengar azan dilaungkan tetapi tidak dapat bersama di masjid. 

Alhamdulillah,  malam ini hari pertama bersolat sunat Terawih di masjid. Aku berdoa agar aku dapat menjalankan ibadah sehingga akhir Ramadhan dengan sempurna. 

Semoga puasa dan segala amal ibadat diterima Allah SWT sebagai amal soleh.

1 Ramadhan 1443



Wednesday, October 20, 2021

Hujan rahmat

Musim hujan agaknya sudah bermula. Semenjak pagi lagi hujan tidak berhenti sehingga sekarang, jam 5 petang. Sekejap lebat, sekejap rintik. 

Bagi kawan-kawan di Pantai Timur, sudah pasti dah pun bersedia dengan ketibaan musim tengkujuh. Bersedia untuk lembab dan basah. Itu dikira masih ok. Cuma kita harap tidak ada banjir besar dan apa-apa yang diluar dugaan  yang berlaku.

Buat aku, hujan atau panas, semua anugerah Allah, kita bersyukur. Kita mendoakan semoga rahmat keseluruh alam. 


Monday, August 23, 2021

Salam sejahtera di pagi Isnin

Segar dan bersemangat, alhamdulillah dan bersyukur kepada yang maha Esa yang masih memberi peluang kepada diriku yang kerdil ini untuk terus menikmati rezeki dan anugerahNya pada hari ini. Tidak ada apa yang istimewa pada rancangan aku hari ini selain meneruskan rutin biasa bekerja dari rumah dan disamping memperbaiki diri dengan meneruskan pembacaan dan pembelajaran.

Aku percaya, setiap hari perlu ada perubahan kearah pembaikan diri. Oleh itu setiap hari perlu ada perkara baru yang perlu aku pelajari samada dari segi ilmu pengatahuan ataupun improvement dari segi skill dan kemahiran… sedikit demi sedikit, lama-lama menggunung juga tingginya.

Jumpa lagi. 

Sunday, July 25, 2021

Comot

Pagi-pagi lagi Comot dah dapat mangsa. Kesian cicak cantik ni...dah habis main-main ko tinggalkan je.


Wednesday, July 21, 2021

Selamat Aidil Adha PKP 1442 H


Selamat hari raya Aidil Adha kepada rakan muslim yang masih merayakan hari raya haji. Kepada yang masih menjalankan ibadat korban, selamat menjalankan ibadat. Semoga ibadat kita semua diterima oleh Allah swt.

Walaupun dalam suasana PKP, tidak ada ziarah-menziarah, juga ibadat korban dijalankan dengan SOP yang begitu ketat, adanya teknologi internet dan komunikasi digital tidak menghalang kita untuk menyambung silaturrahim sesama kita.

Mesej Watsap tidak putus-putus dengan well wishes dan ucapan menyambut hari raya dengan kad-kad dan poster ucapan yang menarik. Tanpa mengira bangsa dan agama, semua menyampaikan ucapan beserta poster-poster yang mencuit hati.

Begitulah Aidil Adha PKP pada kali ini ini.

Sunday, April 18, 2021

6 Ramadhan

Alhamdulillah, syukur kerana masih dikurniakan rezeki dapat menyempurnakan ibadat puasa dan dapat menghadirkan diri ke masjid.

Sudahpun masuk enam hari berpuasa. Fasa kedua target untuk kurangkan berat badan dan menurunkan lemak belum mencapai milestone yang pertama.

Dah kena masuk gear dua sekarang.




Wednesday, April 14, 2021

2 Ramadhan

Alhamdulillah, selamat berbuka puasa untuk hari pertama berpuasa di bulan Ramadhan. Sekarang saya berada di masjid sesudah selesai solat berjemaah fardhu Isyak. Dimasjid ini sebelum memulakan solat sunat Tarawih, ustaz memberi 15 minit tazkirah. Semoga ada keberkatan di situ.

Ramadhan adalah bulan mendidik diri. Dengan ibadat puasa, sekiranya dilakukan dengan penuh tertib, berupaya membantu kita membentuk peribadi dan membentuk tabiat atau habit yang baik. 

Bagi saya ini adalah peluang terbaik untuk membentuk habit baru terutamanya dalam perkara berkaitan dengan pemakanan dan rutin harian. Antara cabaran saya hari ini adalah bagi menurunkan berat badan sebanyak 15 kg. Ada berbagai saranan dari mereka yang arif tentang pengurusan berat badan. Salah satu adalah disiplin dalam hal pengambilan jumlah karbo dan lemak termasuk juga latihan fizikal yang konsisten pada setiap hari. 

Saya mengambil saranan ini sebagai menyahut cabaran Ramadhan untuk turun berat badan sebanyak 2 kg. InsyaAllah. 

Tuesday, April 13, 2021

Ramadhan kembali lagi

Salam Ramadhan kareem kepada rakan-rakan muslim. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas. 

Pada tahun ini walaupun kita masih dalam pandemic covid-19 tapi kelonggaran yang diberikan walaupun dengan SOP yang ketat, masih membolehkan kita berjemaah Isyak dan Taraweh di masjid dan surau begitu bermakna. Suasana Ramadhan kemuliaan Ramadhan begitu terasa sekali.

Di masjid, mendengar alunan bacaan al quran dalam solat dan dapat mengaminkan doa selepas solat, memberi rasa sayu dalam ketenangan. Inilah rezeki dari Allah.

Syukur, walaupun dengan pelitup muka sepanjang masa, jarakan sosial dan begitu berhati-hati, aku, isteri serta ahli keluarga teruja dapat bersama ke masjid pada 1 Ramadhan.

Alhamdulillah. Kita berniat untuk berpuasa besok dan sebulan di bulan Ramadhan. 


Tuesday, October 20, 2020

Malu-malu kucing




Betul kata orang tua, malu-malu kucing. Walaupun gambar ini dah agak lama juga, begitu bermakna kerana tingkap tersebut sudah tiada lagi. Kini diganti sepenuh dengan dinding. 

Kucing yang pemalu itupun juga sudah tiada. Yang ada hanya generasi baru yang dilahirkan kemudian.

Begitulah masa yang meniti berlalu. Yang kekal hanya kenangan. Masih segar dalam ingatan.


Monday, August 31, 2020

Merdeka untuk berimpian

Hari ini cuti umum, hari kemerdekaan Malaysia. Pagi-pagi suasana merdeka sudah pun dirasai. Merdeka dari  ada suasana “rushing” hari-hari kebiasaan. Cuti umum  pun merdeka juga namanya... merdeka membawa banyak makna.

Sudah tentu 31 Ogos adalah merdeka kepada negara daripada penjajahan kolonial. Maka kebiasaannya bermula saja 1 Ogos, dilancarkan bulan Kemerdekaan. Aku pun terlibat sama. Di sekolah anak aku, diadakan program bulan Kemerdekaan. Sebagai seorang warga Malaysia, aku terpanggil untuk sama-sama meraikannya. Di pejabat pun ada juga tetapi rancangan bulan Kemerdekaan. Sudah tentu dalam bentuk yang berlainan.

Kepada diri sendiri, makna kemerdekaan sudah tentu bergantung kepada individu. Orang yang menghargai kemerdekaan adalah kepada mereka yang melalui “ketidak-merdekaan” dalam kehidupan mereka. Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam diri kita. Namun kemerdekaan yang dari sudut kewangan dan kebebasan masa begitu  bermakna sekali. Kita tidak  dikongkong oleh pihak lain dalam menentukan keupayaan kewangan kita sendiri. Juga kita tidak terikat dengan pihak lain dari segi bila dan apa yang kita ingin lakukan. Kita inginkan kebebasan kewangan dan masa; kedua-duanya sekali. 

Kita bebas berimpian.

Thursday, August 20, 2020

Salam Maal Hijrah 1442

1Muharram 1442H.

Selamat menyambut tahun baru Hijrah bagi rakan-rakan Muslim. Semoga tahun ini kita mulakan dengan harapan dan impian yang lebih bermakna untuk diri kita sendiri, keluarga, agama, negara dan sejagat khususnya umat Islam diseluruh dunia. Juga kita doakan pada tahun 1442H dan seterusnya akan terus memberikan kejayaan demi kejayaan yang penuh bermakna dan kebaikan kepada kita semua.

Terlalu banyak untuk disusuri perkara yang terjadi pada tahun yang lepas-lepas. Walaupun perkara yang lepas patut kita jadikan teladan dan sempadan, namun yang lebih penting adalah masa hadapan kita. Covid19 masih belum selesai. Bagi setiap yang berlaku ada kebaikan dan keburukan. Kesannya pada masa sekarang mahupun pada masa yang akan datang. Juga kesan yang positif mahupun yang negatif, bergantung kepada kita untuk melihatnya.

Apa-apa pun bagi aku, aku ingin melihat kesan yang positif. Ramai orang memperkatakan tentang norma baru atau new norm. Norma baru ini terlalu luas skopnya - daripada peringkat invidua sehingga kepada polisi-polisi kerajaan, strategi-strategi perniagaan sehingga kepada hala tuju teknologi yang baru dicipata - pendekata norma baru ini merangkumi segala ruang-lingkup kehidupan kita. Kita ambil peluang untuk mengubah keadaan kepada yang lebih baik. 

Aku berpandangan, Apa yang berlaku itu ada hikmatnya. Itulah kekuasaan Allah swt. Begitu mudah untuk Allah mengubah sesuatu. Dengan hanya isu Covid19, bagaimana seluruh dunia berubah dalam sekelip mata. Bersyukurlah, kita masih dapat menikmati segala rahmat pemberian Allah swt. 

Wassalam 

Friday, April 24, 2020

Salam Ramadhan dalam PKP

PKP diumumkan untuk diteruskan dua minggu lagi sekali dengan pengumuman tarikh mula berpuasa bagi 1441h. Pada awal PKP dahulu tidak terjangka ianya melangkau Ramadhan. Sudah tentu PKP begitu banyak memberi kejutan dan sejarah baru termasuklah Ramadhan terkurung di rumah bagi keluarga aku.

Pagi ini adalah hari pertama menjalani ibadat berpuasa dalam suasana PKP. Dari segi rutin tidak ada kelainan kecuali tidak makan dan minum pada waktu siang hari. Sekejap lagi aku akan masuk pejabat. Aku masih belum dapat jangka macamana keadaan waktu bekerja. Begitu juga rutin keluarga di rumah. Maklumlah, rumahku pejabatku jua. Oleh kerana rutin ini sudah berjalan semenjak lebih sebulan yang lepas, sudah tidak menjadi hal lagi.

PKP mungkin memberi peluang untuk dipenuhi masa terluang dengan amal ibadat yang disarankan di bulan Ramadhan ini. Kini masa perjalanan sudah dapat diganti dengan seauatu yang lebih berfaedah. Masa makan boleh diganti dengan pegisian ilmu. Memang bermacam-macam cara yang kita boleh fikirkan untuk meningkatkat mutu masa di bulan Ramadhan ini.

Apa-apa pun jangan kemana-mana. #kitajagakita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails