Suasana Hari Raya masih dirasai. Undangan rumah terbuka dan jamuan Hari Raya semakin penghujung Syawal semakin rancak. Kepada yang masih ingin menyahut seruan dan cabaran Puasa 6, sama-sama kita menyahut seruan tersebut. Saya masih ada beberapa hari lagi untuk dihabiskan. Insya Allah, kalau tidak ada aral sempat disempurnakan sebelum berlalu Syawal.
Sebenarnya Puasa sunat Syawal ini atau Puasa 6, cabarannya begitu kuat. Itu sebabnya ganjarannya pun cukup besar. Iaitu sama seperti kita berpuasa sepanjang tahun. Jangan ada yang buat kelakar tidak mahu berpuasa Ramadhan kerana Puasa 6 sudah merangkumi semuanya! Itu ajaran songsang namanya.
Saya rasa antara cabaran Puasa 6 ini adalah, suasana puasa sudah tidak ada lagi. Tidak seperti suasana dibulan Ramadhan. Puasa Syawal adalah puasa diluar “musim”. Pada hakikatnya, puasa pada bila-bila masa sekalipun sama saja. Yang penting berapa tinggi kesabaran dan kekuatan iman untuk menempuh suasana sebegitu. Pasa selama sebulan dibulan Ramadhan sudah cukup memberi latihan dan puasa Sunat ini boleh dikira sebagai ujian terakhir seseorang. Ujian ini memberi petunjuk aras setakat mana puasa pada Ramadhan meningkatkan kekuatan dan jati iman seseorang itu.
Kepada rakan-rakan yang sudahpun “beraya” setelah selesai berpuasa 6, saya ucapkan tahniah. Namun kepada beberapa kerat lagi rakan-rakan yang masih bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan ibadat puasa sunat ini, tabahkan hati, Pendekata, tepuk dada, tanya iman!