Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Thursday, June 14, 2012

Promosi cara bertutur bahasa Melayu yang baik

“… pemakaian lisan bahasa Melayu amat membimbangkan pada masa sekarang.” Satu kenyataan yang saya petik daripada sebuah akhbar harian Utusan Malaysia hari ini. Penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dikalangan golongan muda semakin merosot.

Saya sependapat dengan kenyataan ini. Cuma tertanya-tanya kepada diri sendiri sebab-sebab yang membawa kepada keadaan sedemikian. Merujuk kepada laporan akhbar yang sama, bahasa Melayu sudahpun disenaraikan sebagai warisan negara di dalam Akta Warisan,  Namun, terletaknya bahasa Melayu didalam senarai tersebut tidak menjamin ataupun tidak menjadikan bahasa Melayu yang betul akan diguna-pakai.

Untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul, kerajaan bersama dengan agensi dan NGO tertentu akan mengadakan promosi supaya orang ramai menggunakan bahasa dengan betul. Namun tidak pula dilaporkan apa bentuk promosi yang akan dijalankan.

Bahasa Melayu, di negara orang Melayu, majoritinya orang Melayu, bahasanya diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan juga disenaraikan sebagai warisan negara, telah diguna pakai semenjak berzaman, tetapi kini menghadapi masalah penggunaan dalam pertuturan secara yang tidak betul. Apa lagi yang boleh kita perkatakan? Siapa yang kita hendak persalahkan?

Semua orang boleh bertanya dan mempersoalkan perkara sedemikian. Hakikatnya berbalik kepada pewarisnya iaitu kita orang Melayu. Perubahan zaman mungkin merubah keadaan. Kata orang bahasa perlu berubah mengikut keperluan zaman. Teknologi baru diperkenalkan terutamannya ICT dan media komunikasi seperti telefon bimbit dan tablet. Juga aplikasi Internet yang bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mempengaruhi cara berkomunikasi. Pendek kata, sekira kita hendak ambil kira alasan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul, satu gunung alasan boleh kita kumpulkan dan berbagai pihak mungkin dipersalahkan.

Sebenarnya tidak perlu berbuat sedemikian. Keputusannya ditangan kita. Kita adalah penggunanya. Oleh yang demikian, sekiranya bahasa salah penggunaan, atau tidak digunakan langsung didalam sebarang urusan, hakikatnya kita sendiri yang menentukan.

Jadi untuk membetulkan keadaan, keadaan itu adalah kita. Oleh itu betulkan diri kita sendiri terlebih dahulu……

Friday, October 28, 2011

Hujan o hujan…

Hujan lebat diluar sana. Nak keluar sekarangpun lebuhraya sesak teruk. Biarlah saya tunggu ke pejabat sementara semuanya reda. Sekurang-kurangnya dapat blogging sekejap.

Setiap petang tidak pernah tidak hujan dan ribut petir akhir-akhir ini. Setiap kali hujan, jalan sesak dan tak guna sama-sama menyesakkan lagi jalan yang sudah sesak tu. Dalam keadaan begini, bagi saya lebih baik ber”internet” dipejabat ataupun bermukabuku.

Sebenarnya ada ke manafaat bermukabuku ni? Mungkin soalan ini terlalu umum. Jawapannya boleh jadi juga berbentuk umum. Mungkin jawabnya “ya” dan juga “tidak” – bergantunglah apa tujuan.

Facebook atau mukabuku ini bila mula-mula dicipta, ia tidaklah bertujuan menerima pengguna sehingga mencapai lebih setengah billion! Ia merupakan satu fenomena sejagat yang amat payah untuk kita temui lagi. Kenyataan ini mungkin salah pada masa akan datang kerana didunia siber kita berurusan dengan atom dan neuron. Siapa tahu apa lagi fenomena yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku pada masa hadapan. Oleh itu kita mesti berfikiran terbuka.

Apa sebenarnya yang saya nak bercerita di sini? Facebook memang satu fenomena. Mungkin sebelum ini ada juga sosial media yang dibangunkan dan beroperasi seumpanya, namun satu demi satu telah tutup kedai ataupun hidup segan, mati tak mahu. Facebook masih tetap utuh.

Kedatangan Google+ cuba mencabar kedudukan Facebook. Ada beberapa idea baru diperkenalkan oleh Google dan selepas itu diperkenalkan juga oleh Facebook. Kini persaingan sengit sedang berlaku. Kedua pihak cuba menawan hati pengguna dengan berbagai-bagai idea baru.

Biarlah kedua-dua mereka bergelut untuk survival mereka. Yang penting bagi kita, manafaat mesti digunakan sepenuhnya.

Tuesday, August 2, 2011

Ramadhan al Mubarak

Selamat berpuasa kepada rakan-rakan muslim. Besok sudah masuk hari ketiga Ramadhan. Masing-masing semakin ghairah dan bersemangat dengan dengan amalan-amalan sunat dibulan puasa terutamanya solat sunat Terawih. Surau di taman saya melimpah sampai ke bahagian luar. Tidak begini pada tahun-tahun yang lepas. Itu tandanya semakin ramai yang menghadiri untuk mengerjakan ibadat sunat Terawih.

Kita berharap semangat dan keghairahan mengerjakan ibadat akan berkekalan sehingga kepenghujung Ramadhan. Seterusnya kekal menjadi amalan selepas Ramadhan. Ramadhan sebenarnya bulan mengerjakan latihan. Sebulan penuh kita mengerjakan ibadat puasa disamping segala amal ibadat yang lain, sekira dilakukan dengan sempurna akan menjadi suatu yang kekal sebagai “habit” atau tabiat. Apabila ianya sudah menjadi tabiat, ia sudah sebati didalam kehidupan sehari, seterus segala amal kebajikan akan mudah dilakukan. Kini ia didalam mode “auto-cruise”.

Kita juga mengharapkan segala amalan dan perbuatan yang buruk ditinggalkan. Sebelum masuk Ramadhan beberapa hari yang lepas, sebuah akhbar tempatan mengimbas kembali tragedi letupan mercun disebuah rumah di Kuala Terengganu pada tahun lepas. Kejadian itu mengakibatkan seorang kanak-kanak meninggal dunia. Saya tidak tahu kenapa bila saja hampir bulan puasa, pihak akhbar akan mensensasikan cerita-cerita buruk tentang kemalangan seperti itu. Tidak ada faedahnya kepada masyarakat membawa cerita seumpama itu. Sudah pasti yang untung hanya pihak akhbar. Lagi sensasi sesuatu berita. lagi untunglah akhbar mereka.

Oleh itu, kita lupakan segala yang buruk. Juga kita sama-sama ingat-mengingati agar semuanya selamat. Tidak ada kemalangan dan kecederaan. Tidak ada berita sedih tentang kecederaan mahupun kehilangan anggota tubuh badan. Tumpukan perhatian kita kepada amalan ibadat dan banyak melakukan amal kebajikan. Semoga semuanya itu mendapat balasan berlipat-ganda semperna bulan Ramadhan al Mubarak yang mulia!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails