Thursday, June 14, 2012

Promosi cara bertutur bahasa Melayu yang baik

“… pemakaian lisan bahasa Melayu amat membimbangkan pada masa sekarang.” Satu kenyataan yang saya petik daripada sebuah akhbar harian Utusan Malaysia hari ini. Penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dikalangan golongan muda semakin merosot.

Saya sependapat dengan kenyataan ini. Cuma tertanya-tanya kepada diri sendiri sebab-sebab yang membawa kepada keadaan sedemikian. Merujuk kepada laporan akhbar yang sama, bahasa Melayu sudahpun disenaraikan sebagai warisan negara di dalam Akta Warisan,  Namun, terletaknya bahasa Melayu didalam senarai tersebut tidak menjamin ataupun tidak menjadikan bahasa Melayu yang betul akan diguna-pakai.

Untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul, kerajaan bersama dengan agensi dan NGO tertentu akan mengadakan promosi supaya orang ramai menggunakan bahasa dengan betul. Namun tidak pula dilaporkan apa bentuk promosi yang akan dijalankan.

Bahasa Melayu, di negara orang Melayu, majoritinya orang Melayu, bahasanya diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan juga disenaraikan sebagai warisan negara, telah diguna pakai semenjak berzaman, tetapi kini menghadapi masalah penggunaan dalam pertuturan secara yang tidak betul. Apa lagi yang boleh kita perkatakan? Siapa yang kita hendak persalahkan?

Semua orang boleh bertanya dan mempersoalkan perkara sedemikian. Hakikatnya berbalik kepada pewarisnya iaitu kita orang Melayu. Perubahan zaman mungkin merubah keadaan. Kata orang bahasa perlu berubah mengikut keperluan zaman. Teknologi baru diperkenalkan terutamannya ICT dan media komunikasi seperti telefon bimbit dan tablet. Juga aplikasi Internet yang bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mempengaruhi cara berkomunikasi. Pendek kata, sekira kita hendak ambil kira alasan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul, satu gunung alasan boleh kita kumpulkan dan berbagai pihak mungkin dipersalahkan.

Sebenarnya tidak perlu berbuat sedemikian. Keputusannya ditangan kita. Kita adalah penggunanya. Oleh yang demikian, sekiranya bahasa salah penggunaan, atau tidak digunakan langsung didalam sebarang urusan, hakikatnya kita sendiri yang menentukan.

Jadi untuk membetulkan keadaan, keadaan itu adalah kita. Oleh itu betulkan diri kita sendiri terlebih dahulu……

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails