Tidak selalu saya membaca sebuah akhbar Melayu yang selalunya membawa berita sensasi yang agak panas. Kebetulan sebelum masuk tidur, saya sempat melayari ebrowse, akhbar digital online, dan membelek-belek akhbar tersebut.
Pada satu paparan, headline bertajuk “Jual bayi di bar” dan lagi satu bertajuk “Ibu dagang zuriat cacat.” Aduh, terasa kasihan kepada bayi-bayi tersebut. Anak siapakah yang dicoleknya? Apa pula perasaan ibubapa bayi tersebut yang kehilangan bayi tersayang. Macamana pula abang dan kakak mereka. Sudah tentu hiba dan sayu dengan kehilangan adik mereka yang masih bayi.
Betapa rendahnya martabat mereka yang bergelar manusia ini tetapi sanggup melakukan perkara sedemikian. Dari laporan itu, satu kes melibatkan rakyat Myanmar dan satu kes lagi melibatkan seorang ibu rakyat tempatan. Mereka yang terlibat dalam kedua-dua kes ini ditangkap oleh pihak berkuasa.
Bukan tujuan saya untuk mengupas kejadian atau kes ini, tetapi sekadar melepaskan rasa marah dan geram kepada mereka yang terlibat. Bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa. Mereka, sekiranya tidak tertangkap, sudah tentu mengaut keuntungan beribu ringgit.
Bila duit semata menjadi pegangan dan tujuan, halal dan haram bukan lagi sempadan, maka tidak apa lagi yang membatas kelakuan dan tindakan seseorang. Mereka sanggup mempedagangkan apa saja dan sanggup menggadai kasih-sayang yang sebenarnya tidak dapat dibayar dengan sebarang harga wang ringgit.
Selamat malam.