Monday, February 17, 2014

Balik kampung

Apa nak dibuat sekarang? Baca online newspaper pun berkisar tentang politik - Selangor - ada yang kesuntukan masa untuk mengejar impian!

Lagi 20 minit kami akan mendarat di Kuala Terengganu. Penumpang di sekeliling kebanyakan sibuk dengan hal masing-masing. Aku mula membuka ipad bila isyarat alat elektronik dibenar untuk digunakan tetapi "strictly in flight mode" sahaja. Pilot baru buat pengumuman kami berada pada 27000 kaki dari aras laut dan mendoakan keselamatan dan keselesaan penumpang.

Melayan ipad pun membosankan. Penerbangan pendek ini tidak ada apa-apa sangat yang sempat dibuat. Mungkin berbual dan menambah networking idea yang lebih baik. Penumpang di sebelah aku adalah dua orang wanita, juga sibuk bersembang. Mungkin pegawai eksekutif sesebuah syarikat. Kedengaran seorang dari mereka merancang untuk membawa balik nasi dagang bila balik ke Kuala Lumpur kelak. Bisik hatiku, Ini mesti penggemar tegar nasi dagang. Aku rasa mereka tidak tahu ada terdapat nasi dagang dijual di Kuala Lumpur yang rasanya setanding, kalau tidak lebih lazat, dan seasli yang dijual di Terengganu.


Tidak berapa lama di udara, peramugari menghidang minuman jus.  Jus epal pilihanku, jarang sebenarnya aku mengambil jus epal. Tidak tahu kenapa kali ini aku meminta jus epal. Apa-apa pun tak kisahlah.

Sedang aku menikmati minuman dan "menyelak" helaian online newspaper (lawati http:www.ebrowse.com.my untuk pengalaman surat khabar maya), aku terdengar seperti penumpang di sebelah menyapaku, "nak balik kampung ke?"



Di sebelah kananku, seorang pakcik kelihatan dengan anak dan cucunya tersenyum pada aku. Terus aku meletakkan ipad.

"Ya balik kampung." Jawabku ringkas.

Rupanya pakcik disebelah aku ini tidak sihat kerana diserang angin ahmar atau stroke. Dah lebih setahun katanya beliau diserang penyakit ini. Kini dalam perjalan pulang ke Manir, sebuah kampung di Kuala Terengganu. Kampung ini terletak di tepi sungai Terengganu, terkenal dengan penghasilan buah tempatan duku Terengganu. Sudah beberapa bulan berada di Kuala Lumpur menziarahi anak cucunya.

Kagum aku melihat ketabahan pakcik ini. Keadaannya sudah semakin baik dibanding ketika mula diserang setahun dulu, katanya sambil tangan kanan mengelap tepi mulutnya dengan tuala kecil. Walaupun sebutannya tidak berapa jelas, aku faham dengan sebutan loghat Terengganunya. Aku terbayang, betapa tabahnya pakcik menghadapi semua ini. Lebih tinggi lagi pengorbanan ahli keluarganya yang memberi sokongan kepada pakcik ini. Itulah cabaran kehidupan.

Sekejap kemudian pilot mengumum saat landing sudah hampir tiba. Aku habiskan jus dan gelas kosong dikutip oleh peramugari. Setelah mendarat, aku bersedia untuk bergerak keluar. Dengan susah payah pakcik menghulur tangan bersalam denganku sambil tersenyum. Aku terharu. Semoga pakcik cepat sembuh dan Allah limpahkan balasan setimpal dengan ketabahan dan kesabaran menempuh ujian kehidupan ini. 




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails