Wednesday, August 3, 2022

Maal Hijrah 1444


Kita berada di pertengahan bulan Muharram, bulan pertama tahun Hijrah. Masih relevan untuk bersembang tentang maal hijrah dan kisah teladan penghijrahan Rasulullah saw. Sebagaimana lumrah, bermacam-macam cara umat Islam menyambut dan meraikan tahun baru Hijrah. Disebalik Maal Hijrah itu, ada kisah penghijrahan Rasullulullah dan beberapa sahabat. 

Dengan perintah Allah SWT, Rasullullah berhijrah dari bumi Mekah ke Yathrib. Mereka meninggalkan segala harta benda, binatang ternakan dan saudara-mara atas kepentingan mempertahankan Islam. Pada awal dakwah Rasulullah di kota Mekah, tentangan pihak kafir Quraish terlalu kuat memaksa untuk Rasullullah SAW melakukan penghijrahan. 

Peristiwa hijrah penting dalam sejarah perkembangan Islam.  Selepas penghijrahan, Rasullullah SAW berjaya mendamaikan golongan Ansar dan Muhajirin. Diketuai oleh Rasullullah SAW, umat Islam di Yathrib, kemudian dikenali sebagai Madinah, berjaya membangunkan Madinah sebagai pusat perkembangan Islam. Dakwah Islamiah dapat dijalan dan disebarkan dengan aman. Penyebaran Islam menjadi semakin luas sehingga keluar dari tanah Arab.

Dari peristiwa hijrah, banyak hikmat dan pengajaran dapat kita ambil. Hijrah diri dengan melakukan transformasi diri dari baik kepada yang lebih baik, dari biasa-biasa kepada yang cemerlang dan gemilang, itulah harapan dan tujuan penghijrahan. Namun, untuk berhijrah dalam kehidupan, adalah satu perkara yang mencabar dan berdepan dengan banyak persoalan yang tidak ada siapapun ada jawapannya. Jawapan hanya akan tersingkap dengan dengan langkah pertama penghijrahan bermula. Langkah demi langkah, peringkat demi peringkat, proses hijrah ini membuka lebaran baru dalam pengalaman dan pengajaran. 

Di dalam perjalanan, cabaran ditempuhi dengan penuh tabah dan ketika itulah banyak keputusan perlu dibuat diatas pilihan yang ada. Sekiranya niat dan tujuan hijrah itu jelas dan ikhlas, itulah yang akan terus mendorong kita untuk terus berjalan ke depan. Cabaran pasti mendatang. Memang hukum alam, untuk kita mancapai sesuatu matlamat,  cabaran pasti datang. Untuk mencapainya, perlu disertakan dengan usaha gigih. Mereka yang sanggup menghadapi cabaran, tanpa mengira penat lelah atau apa orang kata, disertakan dengan doa dan harapan kepada Allah swt, impian pasti tercapai.

Oleh itu, untuk berhijrah dan melakukan transformasi diri, yang pertama, lakarkan impian yang besar dengan jelas, nekad dan buat keputusan yang kukuh untuk berubah.  Mulakan langkah pertama anda hari ini. Pilihlah untuk berubah kerana hidup ini adalah pilihan.

Wassalam, jumpa lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails