Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, suka memberi keampunan. Maka ampunilah aku.
Ramadan sudah pun menghampiri penghujung minggu kedua. Kedatangannya dulu dialu-alukan dan dinanti-nantikan. Kedatangan membawa bersamanya keampunan (maghrifah), rahmat dan pembebasan dari api neraka ('itqun minnannar).
Kini sudah menelusuri kepertengahan bulan. Hampir dua minggu Ramadan sudah beredar. Sebaiknya kita mengada reality check. Dimanakah kita sekarang ini didalam menghidupkan syiar Ramadan dan menerima tawaran Allah sebagai bulan yang penuh maghrifah dan rahmat. Sekurang-kurangnya kita masih ada lagi dua minggu untuk memperbaiki amalan sekiranya kita rasakan kita masih kemana-mana dari segi amalan harian.
Bagi diri ini, aku masih di takuk lama, masih dengan gear satu, tiada peningkatan dari hari pertama Ramadan. Ramadan datang dengan berbagai ujian. Aku disibukkan dengan urusan dunia yang memang tidak berkesudahan selagi aku masih berada di dunia ini.
Urusan pejabat dan juga urusan yang tidak berkait dengan pejabat, semuanya meragut waktu dan peluang untuk aku melakukan amalan-amalan khusus yang afdal pada bulan Ramadan. Terasa begitu rugi kerana membiarkan masa berlalu tanpa mengoptimumkan ganjaran yang dijanjikan Allah.
Aku harap minggu ketiga nanti akan menjadi batu loncatan bagi membina momentum kepada sepuluh malam terakhir. Jom kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki amalan kita di bulan yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran. Semoga amalan kita diterima Allah sebagai amalan kebajikan.
Amin!