Late Posting: 15 Aug 2010
Alhamdulillah, minggu pertama Ramadhan masih berjalan. Suasana Ramadhan sama seperti tahun-tahun yang lepas. Namun begitu pada saya ianya tetap tidak sama.
Yang pertamanya saya bersyukur kepada Allah kerana masih diketemukan dengan Ramadhan pada tahun ini. Berapa ramai saudara dan sahabat kita yang sudah meninggalkan kita dan Ramadhan yang lepas adalah yang terakhir baginya. Ada saudara kita yang sama-sama kita berpuasa pada tahun yang lepas kini tiada lagi disisi kita. Kita mendoakan dan mengharapkan semoga kita pada tahun ini adalah lebih baik dari yang sebelumnya kerana kita tidak tahu adakah mungkin akan berjumpa lagi dengan Ramadhan pada tahun depan.
Sekira mungkin, rancangan dan harapan untuk tidak melepaskan peluang ganjaran besar dan berlipat ganda pahala yang dikurniakan Allah swt kepada hambanya yang mahu mengambil manafaat. Sungguhpun begitu, dugaan amatlah besar. Saya mendoakan agar Allah memudahkan kita semua untuk mengejar ganjaran tersebut.
Sesungguhnya Ramadhan ini terlalu banyak pengajaran dan pendidikan. Bulan ini adalah training ground untuk memupuk kembali diri kita dari segi mental dan fizikal – tidak terhad kepada soal-soal agama dan pahala-dosa sahaja.