Malam ke-20 Ramadhan. Bermulalah pencarian kemuliaan malam Lailatul Qadar. Malam dimana ganjaran kebaikan digandakan seumpama seribu bulan.
Perkara ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud:
"Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?
Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1 - 2)
Bagaimanapun Allah tidak menjelaskan dengan terang kehadhiran Lailatul Qadar. Sebuah hadis bermaksud:
"Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam akhir Ramadan." Riwayat Muslim.
Dari hadis ini jelas bahawa kita perlu berusaha mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya bagi mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh ingin menemukan Lailatul Qadar, faedahnya sungguh besar. Bila sebenarnya Lailatul Qadar itu tidak penting tetapi yang lebih penting usaha kearah mengerjakan amal ibadat dan semangat untuk mendapatkan segala anugerah Allah kepada hamba-hambanya lebih bermakna.
Proses dan usaha seseorang mengejar ganjaran dengan penuh kesabaran, harapan yang tinggi dan penuh yakin berserah kepada Allah sebenarnya mendidik hati kita untuk lebih dekat dengan Allah. Walaupun hanya sepuluh hari terakhir Ramadhan, kesannya diharapkan akan kekal kepada kita sehingga selepas Ramadhan dan sehingga ke Ramadhan yang akan datang. Sekira umur panjang, akan bertemu kita sekali lagi.
Kita mendoakan diberikan kekuatan untuk menemukan Lailatul Qadar seterusnya dikekalkan Allah hidayah kepada kita sehingga keakhir hayat.
Salam Ramadhan