Aku tidak lepas peluang untuk membeli keropok lekor dan keping yang memang sentiasa menjadi hidangan diwaktu minum teh petang atau sampingan waktu makan.
Di Terengganu, terutamannya di sekitar Kuala Terengganu, di sana-sini ada saja kelihatan bangsal jualan keropok di sepanjang jalan utama. Yang biasa dijual adalah keropok lekor dan keropok keping.
Yang menjadi ironik hari ini, semua keropok dilabelkan sebagai keropok Losong. Losong adalah kawasan tersohor dengan pembuatan keropok dan kini sudah menjadi satu branding. Labelnya kini ada dimana-mana walaupun di luar Terengganu. Sudah tentu rasanya berbeza kerana tidak ada seorangpun yang boleh mengaku resepi mereka adalah keropok Losong yang “ori”.
Selain dari keropok lekor atau keropok Losong, satu lagi keropok yang tersohor adalah keropok keping Pengkalan Setar. Juga Pengkalan Setar ada satu tempat yang mana kebanyakan penduduk kampung tersebut mencebur didalam industri keropok. Aku perhatikan branding Keropok Pengkalan Setar juga tidak kurang hebat dari Keropok Losong. Labelnya kini sudahpun berada di Lembah Kelang seperti Pasar Borong Selangor. Juga, labelnya agak generik, maka tidak ada seorang yang boleh mengaku keluaran mereka adalah yang “ori” Pengkalan Setar.
Pada hakikatnya kalau ditanya yang mana satu paling “best”, jawabnya tidak ada. Mereka yang hanya makan keropok sekali-sekala, atau “part-timer” sahaja, mungkin dapat membezakan rasa. Bagi mereka ini, rasanya agak “standard” walaupun dibeli pada lain tempat. Bagi pemakan keropok keping “tegar” seperti keluarga kami, lain tempat dibeli, lain rasanya.
Kebetulan balik kampung kali ini, bekalan keropok keping yang selalunya disimpan untuk beberapa bulan, sudah kehabisan. Jarang kami lupa untuk menambah bekalannya – begitulah hakikatnya.
Kebiasaannya kami hanya mendapatkan dari satu tempat sahaja – dimana keropoknya sesuai dengan cita-rasa kami sekeluarga.
Keropok dikeringkan dibawah sinar matahari untuk selama beberapa hari sehingga cukup kering untuk bungkus dan dijual. Pemandangan penjemuran keropok seperti ini dapat dilihat dimana sahaja tempat pembuatan keropok.
Cabaran utama adalah cuaca dimusim tengkujuh yang jarang mendapat cahaya matahari terik sepanjang hari. Ini akan mempengaruhi jangkamasa penjemuran dan juga kualiti keropok itu sendiri. Penjemuran terbuka ini juga membawa kepada risiko pendedahan kepada debu-debu dan lain-lain lagi. Namun ianya agak terkawal kerana kebanyakan tempat ini adalah ditepi pantai dan keadaan yang sentiasa berangin dengan kuat mengurankan risiko tersebut. Cuma sekali-sekala aku dapat melihat kadang-kadang ada burung-burung kecil datang bertenggek ditepi-tepi jemuran – mencari rezeki!
Apa pun keropok memang best!