Saturday, May 28, 2016

20 Sya'ban 1437

Ketika aku menulis catatan ini, aku berada di surau di sebuah pasaraya. Aku sedang menunggu masuk waktu Maghrib. Ramai juga orang di sini. Kalau lewat ke surau sudah tentu berasak-asak untuk berwuduk dan solat. Entah kenapa pula ramai pengunjung  hari ini. Boleh jadi ramai orang sudah mula membuat persiapan untuk hari raya... walaupun puasa lagi 10 hari akan tiba.

Bila teringat Ramadhan yang bakal disambut, Terasa gembira, juga hiba.

Aku gembira kerana kedatangan Ramadhan adalah bulan nikmat dan berkat. Setiap perbuatan baik adalah dengan pahala berlipat ganda. Setiap doa dimakbulkan dan taubat diterima. Pintu syurga dibuka seluasnya dan pintu neraka ditutup serapatnya. Iblis dan syaitan dirantai semuanya.

Suasana malam di masjid surau meriah. Ramai jemaah yang datang untuk merebut peluang berjemaah di masjid. Bunyi ketawa dan tangisan kanak-kanak menghidupkan lagi suasana di Masjid. Jangan pula cerita pasal majlis berbuka puasa dan moreh. Ramai yang tertunggu-tunggu kedatangan Ramadhan.

Begitulah besar dan mulianya Ramadhan. Maka gembiralah kita untuk menyambut Ramadhan yang penuh dengan kelebihan kurniaan Allah swt.

Namun aku terasa terharu apabila teringat kepada sahabat dan kenalanku yang terlebih dahulu kembali menemui Penciptanya dan tidak bertemu Ramadhan pada kali ini. Tentulah sambutan Ramadhan pada tahun ini berlainan kepada ahli keluarga sahabat-sahabatku ini. Ketiadaan orang yang mereka sayangi dalam menyambut Ramadhan pada kali ini memang akan begitu dirasai. Akan bertambah lagi perasaan pilu tatkala tibanya Syawal nanti.

Aku sendiri merasai kehilangan sahabat-sahabatku ini. Kini tiada lagi salam Ramadhan dari mereka. Tiada lagi cerita mengenai kesibukannya sebagai ahli jawatankuasa masjid dan berkejar kesana-sini menguruskan urusan jemaah. Semoga Allah menerima segala pengorbanan ini sebagai amal jariah.

Aku tahu berat mata memandang berat lagi bahu memikul kepada ahli keluarganya. Hanya satu yang perlu kita ingat. Yang pergi tetap pergi. Kita yang masih di sini perlu meneruskan pengembaraan dan perjuangan. Doa dari anak yang soleh dan amal jariah akan terus sampai kepada mereka yang mendahului kita bertemu Rabbul Jalil.

Oleh itu sama-sama kita rebut peluang di bulan Ramadhan ini untuk kita berdoa agar mereka yang kita sayangi sentiasa mendapat rahmat dan digolongkan bersama mereka yang beriman.

Selamat menyambut Ramadhan 1437H.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails