Alhamdulillah, aku selamat menjalankan ibadah puasa Ramadhan pada hari pertama. Syukur kerana Allah sampaikan juga kepada Ramadhan pada tahun ini. Semenjak Rejab dan Syaaban lagi kita semua berdoa semoga kita dapat menemui Ramadhan pada kali ini. Semoga dapat kita menikmati kemuliaan Ramadhan dengan merebut segala kelebihan dan ganjaran terutamanya keampunan segala dosa dan bertemu dengan malam Lailatulqadar.
Kebetulan permulaan Ramadhan jatuh ketika musim cuti sekolah. Kami sekeluarga pulang bercuti di kampung di Terengganu. Menyambut 1 Ramadhan bersama ayah bonda beserta saudara-mara yang lain memang satu suasana yang jarang dirasai oleh keluarga kami yang sudah lama bermastautin di negeri orang.
Satu perkara yang unik di Terengganu, tembakan bedil yang dapat didengari di seluruh pelusuk daerah Kuala Terengganu menandakan bermulanya bulan puasa. Tembakan bedil ini juga menandakan waktu berbuka dan imsak. Bunyi tembakan bedil memang dinanti-nantikan terutama pada saat berbuka.
Mengikut sejarah, tradisi tembakan bedil bagi menandakan bermulanya puasa serta hari raya sudah bermula berdekad yang lepas. Cuma kini ianya dipermodenkan dengan kepakaran teknologi bunga api. Mungkin bagi generasi baru bunyi bedil tidak menanda apa-apa kerana dengan teknologi maklumat waktu berbuka dan imsak ada di tangan masing-masing menggunakan smartphone. Nostalgia bunyi bedil dibulan Ramadhan sinonim dengan penduduk kuala Terengganu.