Saturday, June 18, 2016

Oh Ramadhan

Ramadhan terus mara dan kini sudah menghampiri ke pertengahan. Ramadhan adalah bulan tarbiyah. Ramadhan mempunyai kekuatan sebagai titik permulaan baru di dalam membina atau memperbaiki habit yang kurang baik kepada yang lebih baik. Juga Ramadhan adalah peluang untuk mendidik diri dengan membuang segala habit yang buruk yang mungkin tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan juga orang ramai.

Hampir separuh melalui Ramadhan sudah berlalu, aku masih struggle untuk mentarbiyahkan diri. Di antara saranan ustaz-ustaz, solat fardhu berjemaah pada awal waktu adalah antara yang utama.  Aku berharap dengan baki hari-hari dibulan Ramadhan yang masih ada, aku diberi kekuatan untuk membaiki diri dengan diberi kekuatan untuk istiqamah di dalam soal solat fardhu berjemaah.

Ramadhan adalah bulan Al Quran. Quota satu juzuk sehari membaca al Quran masih ketinggalan. Cuba untuk cover up quota bacaan dalam hujung minggu ini.

Sedekah dan kerja amal di bulan Ramadhan adalah satu amalan yang digalakkan. Aku masih berusaha keras untuk menambahkan lagi usaha-usaha amal kebajikan.

Namun banyak lagi perkara yang perlu diubah dan ditinggalkan. Makan masih tema utama Ramadhan. Sedaya-upaya kita menjaga supaya tidak berlaku pembaziran. Tetapi pembaziran bukan hanya pada soal makanan sahaja. Pembaziran yang lebih besar ialah pembaziran masa dan tenaga.

Ramadhan adalah platform terbaik bagi aku membina akhlak dan habit yang lebih baik daripada sebelum ini.

Thursday, June 9, 2016

Berpuasa, bermusafir

Hari Ke-3 Ramadhan, Kami bertolak ke Kuala Lumpur. Jam 5.00 petang kami mula memasuki LPT 2 melalui Telemong. Berpandukan Wase, kami jangka (ETA) tiba di Temerloh jam 7.30 petang untuk berbuka puasa. Di dalam perjalanan, aku dan Zie cuba menghabiskan quota bacaan al Quran yang sudah ketinggalan ini. Anak-anak yang lain dengan tablet dan smartphone masing-masing. Webe dapat digunakan sepanjang perjalanan walaupun ada beberapa tempat signal terlalu lemah. Hujan lebat mencurah sepanjang LPT2. Sekali- sekala driver muda kena tegur supaya tidak memecut.

Waze memang boleh dipercayai. Seperti yang dijangkakan , kami tiba di RnR Temerloh tepat pada waktu azan maghrib dilaungkan. Parkir kereta hampir penuh, ramai yang berhenti untuk berbuka puasa. Begitu juga di kedai makan. Meja makan di RnR penuh dengan mereka yang sedang berbuka. Kami tidak ada pilihan kecuali berbuka di dalam kereta.

Kami memang tidak ada hal dengan perkara ini kerana memang sudah bersiap dari awal lagi. Aku bertuah kerana ada isteri yang proaktif dan "perfect melancholic" - sentiasa berfikir kehadapan dan sedia menghadapi apa jua cabaran; mertua yang prihatin - menyediakan bubur lambuk untuk berbuka; ibu yang penyayang - menyediakan lauk gulai ayam kampung untuk bersahur, favorite kami sekeluarga ; serta anak-anak yan bertuah kerana tidak pernah merungut dengan apa yang ada. Driver muda pun masih tip-top walaupun memandu dalam hujan lebat.

Hanya di parkir RnR, di dalam kereta dan hujan renyai, kami berbuka dengan bubur lambuk tradisional Terengganu. Bubur memang istimewa dan masih hangat tersimpan dalam bekas. Satu kenikmatan berpuasa adalah ketika berbuka. Kami terbuka dengan suasana santai di dalam kereta dan seronok sekali. Walaupun di dalam kereta, banyak juga pilihan juadah berbuka yang dibeli siang tadi di Pasar Payang.  Sempit dan berhimpit sedikit tidak menjadi masalah. Yang penting kami dapat berbuka dengan hati riang sambil bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah.

Setelah selesai berbuka, kami bersolat jamak Maghrib-Isyak di surau. Perjalanan diteruskan. Alhamdulillah kami tiba dengan selamatnya di destinasi kami di Seri Kembangan tepat jam 10.30 pm.

Tuesday, June 7, 2016

1 Ramadhan 1437H

Alhamdulillah, aku selamat menjalankan ibadah puasa Ramadhan pada hari pertama. Syukur kerana Allah sampaikan juga kepada Ramadhan pada tahun ini. Semenjak Rejab dan Syaaban lagi kita semua berdoa semoga kita dapat menemui Ramadhan pada kali ini. Semoga dapat kita menikmati kemuliaan Ramadhan dengan merebut segala kelebihan dan ganjaran terutamanya keampunan segala dosa dan bertemu dengan malam Lailatulqadar.
Kebetulan permulaan Ramadhan jatuh ketika musim cuti sekolah. Kami sekeluarga pulang bercuti di kampung di Terengganu. Menyambut 1 Ramadhan bersama ayah bonda beserta saudara-mara yang lain memang satu suasana yang jarang dirasai oleh keluarga kami yang sudah lama bermastautin di negeri orang.
Satu perkara yang unik di Terengganu, tembakan bedil yang dapat didengari di seluruh pelusuk daerah Kuala Terengganu menandakan bermulanya bulan puasa. Tembakan bedil ini juga menandakan waktu berbuka dan imsak. Bunyi tembakan bedil memang dinanti-nantikan terutama pada saat berbuka.
Mengikut sejarah, tradisi tembakan bedil bagi menandakan bermulanya puasa serta hari raya  sudah bermula berdekad yang lepas. Cuma kini ianya dipermodenkan dengan kepakaran teknologi bunga api.  Mungkin bagi generasi baru bunyi bedil tidak menanda apa-apa kerana dengan teknologi maklumat waktu berbuka dan imsak ada di tangan masing-masing menggunakan smartphone. Nostalgia bunyi bedil dibulan Ramadhan sinonim dengan penduduk kuala Terengganu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails