Alhamdulillah, dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim, aku masih sekali lagi menemui Ramadhan pada tahun ini. Ramai antara sahabat kita yang pergi dahulu menemui Allah sebelum datangnya Ramadhan kali ini.
Ramadhan bulan yang mulia dan penuh berkat. Juga bulan ini ada bulan yang penuh dengan kemudahan untuk merubah dan membuat transformasi diri kepada yang lebih baik. Bulan ini sangat kondusif sebagai permulaan untuk reset siri kita bagi memulakan habit baru.
Banyak perkara yang ada dalam fikiran untuk aku lakukan. Aku bimbang kerana terlalu excited, semuanya tidak berjalan. Lebih baik aku fokus kepada beberapa yang utama sahaja dan pastikan aku dapat melakukannya dengan terbaik.
Ramadhan banyak berkait dengan makan dan pemakanan. Ini adalah satu perkara yang aku perlu ubah. Ramadhan bukan bulan untuk menjamu selera dengan berbagai-bagai juadah yang lazat. Cukuplah dulu dengan budaya Ramadhan sebagai sambutan juadah berbagai jenis, bagi diri aku. Sudah sampai masa aku fokus kepada jenis makanan yang sesuai berbuka dan bersahur. Juga yang akan menjadikan aku selesa untuk sedikit-sebanyak beribadat. Kalau terlebih makan nanti tidak selesa pula untuk bersolat dan sebagainya. Kembali ke pangkal jalan….😁
Baru hari pertama Ramadhan. Aku berdoa Allah berikan kekuatan kepada diri aku dan juga kita semua agar Ramadhan kali ini adalah yang terbaik, yang dapat mengislahkan diri kita dan lebih dekat kepada Allah swt.