Sunday, September 12, 2010

Eid Mubarak

Salam Eid Mubarak kepada semua sahabat-handai, rakan-taulan – yang dekat mahupun yang jauh. Itulah kelebihannya Eid Mubarak. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat, kita dekat-dekatkan lagi.

Syawal sudah masuk hari ketiga, Eid terus dirayakan. Makanan dan juadah yang pelbagai masih menjadi tumpuan.Ruang yang luas untuk berjumpa dan bermesra dengan saudara-mara yang jauh dan dekat tetapi memang jarang dapat bertemu kerana kesempitan masa dengan keutamaan yang lain.

Bagi kanak-kanak, kedatangan Hari Raya memang dinanti-nantikan. Ia bermakna tidak ada lagi puasa. Tidak ada lagi merengek-rengek meminta berbuka. Bukan kerana lapar tetapi kerana tidak tahan melihat adik kecil menikmati ais kerim dihadapannya. Masa mengumpul “duit raya”. Adakah ia satu tradisi yang baik atau tidak baik; patut dikekalkan atau ditinggalkan? Bukan masa nak dibahas disini. Ia tidak menjadi masalah yang besar. Malah kita orang dewasa tumpang seronok bila melihat kanak-kanak gembira mengira duit raya yang mereka kumpul.

Meraikan ibu bapa dan nenek atau atuk (sekiranya mereka masih bersama kita) adalah satu keutamaan. Kita menghormati mereka sebagai orang tua yang mesti dihormati dan dimuliakan pada Hari Raya. Bagi mereka itu adalah satu penghargaan yang besar mungkin tiada nilainya berbanding dengan yang lain. Kita juga mesti ingat, bahawa pada suatu hari nanti, kita akan melalui jalan yang sama dan kita akan berada ditempat mereka. Biarlah kita hari ini menjadi teladan yang baik kepada generasi anak-anak kita nanti. Perkara yang sama kita harapkan dari anak-anak kita satu hari nanti.

Baiklah… Hari Raya akan diteruskan lagi dengan undangan rumah terbuka. Saya menyambutnya dengan perut yang “terbuka”!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails