Awal pagi lagi, pada hujung minggu lepas, pembantu rumah aku begitu kalut sekali. Lebih kalut dari biasa. Rupanya ada dua ekor anak kucing, masih terhoyong-hayang kerana tidak mampu berdiri sendiri, baru dilahirkan,di laman belakang rumah sebelah yang tidak berpenghuni. Dia memang tahu, saya dan keluarga begitu “passionate” dengan kucing dan anak kucing.
Fikirannya ligat juga (walaupun biasanya tidaklah sebegitu). Di sekitar taman perumahan selalunya terdapat anjing-anjing liar selalu kelihatan. Bimbangkan keselamatan anak-anak kucing tersebut, beliau melompat pagar rumah sebelah dan mendapatkan kedua-dua ekor anak kucing tersebut. Kebetulan memang sangkar kucing sudah sedia ada. Anak kucing yang masih lemah itu selamat di dalam sangkar.
Bagaimana pula kami hendak menjaganya? Anak-anak kucing kini sudah di dalam sangkar. Masih lemah dan masih memerlukan susu ibunya. Ibunya masih di luar dan liar. Tidak mudah untuk menyusukan anak kucing yang berumur hanya beberapa hari. Menyusu dengan botol mungkin jawapannya.
Pada sebelah petang, Angah keluar mendapatkan susu untuk kucing dan botol susu. Aduh! macamana nak menyusukannya?
Setakat ini usaha untuk menyusukan si anak kucing kecil masih tidak berjaya. Hanya sedikit yang berjaya diberi. Berbagai cara dicuba. Semuanya tidak berjaya. Kalau ianya berterusan dengan tidak menyusu, anak kucing ini tidak akan survive.
Oleh yang demikian, strategi terakhir untuk memastikan anak kucing terus “survive”. Ibu kucing ini mesti diletakkan sekali. Ianya liar dan bukan satu usaha yang senang untuk menangkapnya!
Ibunya masih kelihatan berada berhampiran dan kadang-kadang datang berhampiran sangkar. Namun ia terus lari bila didekati. Memang kucing ini hidup secara liar. Untuk mendapatkannya, memerlukan usaha gigih… anak-anaknya sebagai umpan.
Dipendekkan cerita, menggunakan anak-anak kucing sebagai umpan dan satu lagi cage yang kosong, akhirnya ibu yang liar termasuk perangkap. Lega rasanya. Untuk beberapa ketika, ibunya garang dan tidak boleh didekati. Bila dihulurkan tangan, harus berhati-hati supaya tidak tercakar. Namun anak-anaknya yang begitu kelaparan tidak melepaskan dari bergayut di bawah perut ibunya.
Setelah diberi dan menikmati makanan yang”lazat” beberapa kali, barulah ibu kucing ini sedar bahawa dunia baru ini memang lebih menyeronokkan. Tidak rugi menetap di “rumah barunya”. Makanan memang istimewa. Hari-hari ikan dalam tin. Berjenama terkenal lagi tu. Mungkin tidak pernah dinikmati sebelum ini. Layanan begitu istimewa sekali. Hari-hari dibelai hingga tertidur. Malah sekarang ini dah lebih-lebih dan melampau-lampau pula. Dah pandai memilih makanan!
Buat masa sekarang, yang penting anak-anak kucing tersebut sihat dan cergas. Juga ibunya juga mesti cukup sihat untuk menyusukan anak-anaknya.
Kedatangan anak-anak kucing baru ini sebenarnya menggantikan “Kitti” yang telah mati beberapa minggu lalu kerana dilanggar kereta.