Thursday, July 21, 2016

Secangkir kopi, sebait ayat

Malam masih muda, selalunya pada waktu begini aku mentelaah buku-buku yang banyak masih belum terbaca. Maklumlah, semangat membeli buku lebih kuat dari nafsu membaca. Begitulah jadinya. Mood pula entah kenapa, tidak dengan buku. 

Mungkin secangkir kopi cukup untuk menyegarkan mata. Aku mencoret beberapa bait ayat disini buat mengisi waktu dinihari ini.

Menulis memang bukan "forte" aku. setiap kali aku memegang pena atau lebih tepat , stylus, maka hilang semua idea asal yang hendak aku lontarkan di sini. Entah kemana perginya.Untuk itu aku teruskan saja. tidak ada perkara menarik untuk aku tulis. Yang ada hanya cerita kopi.

Bila usia sudah mencapai hampir separuh abad, banyak perkara sudah berubah, termasuklah pilihan makanan dan minuman. Minat kepada makanan dan minuman juga berubah. Ada banyak faktor yang membuat ianya berubah. Citarasa adalah faktor utama. Semua air minuman yang lain sudah hilang kelazatannya.  Faktor kesihatan juga bukan perkara utama. Begitulah hakikatnya.

Kopi bukanlah favorite aku semenjak dulu. Namun semenjak beberapa tahun yang lepas, aroma kopi yang menyegarkan dan rasanya yang pahit berlemak menarik minatku. Aku mula jatuh hati dengan kopi. Aku tidak tahu samada kesukaan aku pada kopi disebabkan oleh kafein ataupun bahan lain, tetapi kopi adalah minuman harian yang tidak boleh tidak aku mesti pekena juga.

Kopi susu kambing memang begitu enak sekali. Membuatnya pun mudah saja sekarang ini. Semuanya di dalam sache. Hanya campurkan kopi dan air panas sahaja. Kopi sudah sedia untuk dinikmati. Tidak perlu bersusah-payah minta isteri atau sesiapa tolong sediakan. Segalanya mudah saja.

Bila minum di pejabat, aroma kopi memang semerbak. Agaknya rakan sepejabat sudah biasa dengan aroma bau kopi dari pejabat aku. Ada kopi baru laju sikit siapkan kerja... begitulah agaknya peminum-peminum kopi di pejabat.

Beberapa rakan sepejabat yang menasihat aku agar kurangkan meminum kopi terutama kopi segera dari sache. Katanya bahaya kepada kesihatan. Bahan campuran krimer di dalamnya tidak menyihatkan. Aku ucapkan terima kasih diatas peringatan. Aku selalu minum kopi hitam kosong tanpa gula dan tanpa krimer. Jadi peringatan rakan sepejabat itu tidak begitu relevan di dalam context ini. 

Apa-apa sekalipun, bagi peminum kopi tegar, sekadar mengambil beberapa cawan kopi sehari, sekadar memenuhi kuota kafein harian sahaja.... nikmatilah!





Monday, July 11, 2016

Berpagi di restoran mamak


Afkar dan Aisyah - roti canai juga yang menjadi pilihan setelah seminggu berada dan beraya di kampung.  

Saturday, June 18, 2016

Oh Ramadhan

Ramadhan terus mara dan kini sudah menghampiri ke pertengahan. Ramadhan adalah bulan tarbiyah. Ramadhan mempunyai kekuatan sebagai titik permulaan baru di dalam membina atau memperbaiki habit yang kurang baik kepada yang lebih baik. Juga Ramadhan adalah peluang untuk mendidik diri dengan membuang segala habit yang buruk yang mungkin tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan juga orang ramai.

Hampir separuh melalui Ramadhan sudah berlalu, aku masih struggle untuk mentarbiyahkan diri. Di antara saranan ustaz-ustaz, solat fardhu berjemaah pada awal waktu adalah antara yang utama.  Aku berharap dengan baki hari-hari dibulan Ramadhan yang masih ada, aku diberi kekuatan untuk membaiki diri dengan diberi kekuatan untuk istiqamah di dalam soal solat fardhu berjemaah.

Ramadhan adalah bulan Al Quran. Quota satu juzuk sehari membaca al Quran masih ketinggalan. Cuba untuk cover up quota bacaan dalam hujung minggu ini.

Sedekah dan kerja amal di bulan Ramadhan adalah satu amalan yang digalakkan. Aku masih berusaha keras untuk menambahkan lagi usaha-usaha amal kebajikan.

Namun banyak lagi perkara yang perlu diubah dan ditinggalkan. Makan masih tema utama Ramadhan. Sedaya-upaya kita menjaga supaya tidak berlaku pembaziran. Tetapi pembaziran bukan hanya pada soal makanan sahaja. Pembaziran yang lebih besar ialah pembaziran masa dan tenaga.

Ramadhan adalah platform terbaik bagi aku membina akhlak dan habit yang lebih baik daripada sebelum ini.

Thursday, June 9, 2016

Berpuasa, bermusafir

Hari Ke-3 Ramadhan, Kami bertolak ke Kuala Lumpur. Jam 5.00 petang kami mula memasuki LPT 2 melalui Telemong. Berpandukan Wase, kami jangka (ETA) tiba di Temerloh jam 7.30 petang untuk berbuka puasa. Di dalam perjalanan, aku dan Zie cuba menghabiskan quota bacaan al Quran yang sudah ketinggalan ini. Anak-anak yang lain dengan tablet dan smartphone masing-masing. Webe dapat digunakan sepanjang perjalanan walaupun ada beberapa tempat signal terlalu lemah. Hujan lebat mencurah sepanjang LPT2. Sekali- sekala driver muda kena tegur supaya tidak memecut.

Waze memang boleh dipercayai. Seperti yang dijangkakan , kami tiba di RnR Temerloh tepat pada waktu azan maghrib dilaungkan. Parkir kereta hampir penuh, ramai yang berhenti untuk berbuka puasa. Begitu juga di kedai makan. Meja makan di RnR penuh dengan mereka yang sedang berbuka. Kami tidak ada pilihan kecuali berbuka di dalam kereta.

Kami memang tidak ada hal dengan perkara ini kerana memang sudah bersiap dari awal lagi. Aku bertuah kerana ada isteri yang proaktif dan "perfect melancholic" - sentiasa berfikir kehadapan dan sedia menghadapi apa jua cabaran; mertua yang prihatin - menyediakan bubur lambuk untuk berbuka; ibu yang penyayang - menyediakan lauk gulai ayam kampung untuk bersahur, favorite kami sekeluarga ; serta anak-anak yan bertuah kerana tidak pernah merungut dengan apa yang ada. Driver muda pun masih tip-top walaupun memandu dalam hujan lebat.

Hanya di parkir RnR, di dalam kereta dan hujan renyai, kami berbuka dengan bubur lambuk tradisional Terengganu. Bubur memang istimewa dan masih hangat tersimpan dalam bekas. Satu kenikmatan berpuasa adalah ketika berbuka. Kami terbuka dengan suasana santai di dalam kereta dan seronok sekali. Walaupun di dalam kereta, banyak juga pilihan juadah berbuka yang dibeli siang tadi di Pasar Payang.  Sempit dan berhimpit sedikit tidak menjadi masalah. Yang penting kami dapat berbuka dengan hati riang sambil bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah.

Setelah selesai berbuka, kami bersolat jamak Maghrib-Isyak di surau. Perjalanan diteruskan. Alhamdulillah kami tiba dengan selamatnya di destinasi kami di Seri Kembangan tepat jam 10.30 pm.

Tuesday, June 7, 2016

1 Ramadhan 1437H

Alhamdulillah, aku selamat menjalankan ibadah puasa Ramadhan pada hari pertama. Syukur kerana Allah sampaikan juga kepada Ramadhan pada tahun ini. Semenjak Rejab dan Syaaban lagi kita semua berdoa semoga kita dapat menemui Ramadhan pada kali ini. Semoga dapat kita menikmati kemuliaan Ramadhan dengan merebut segala kelebihan dan ganjaran terutamanya keampunan segala dosa dan bertemu dengan malam Lailatulqadar.
Kebetulan permulaan Ramadhan jatuh ketika musim cuti sekolah. Kami sekeluarga pulang bercuti di kampung di Terengganu. Menyambut 1 Ramadhan bersama ayah bonda beserta saudara-mara yang lain memang satu suasana yang jarang dirasai oleh keluarga kami yang sudah lama bermastautin di negeri orang.
Satu perkara yang unik di Terengganu, tembakan bedil yang dapat didengari di seluruh pelusuk daerah Kuala Terengganu menandakan bermulanya bulan puasa. Tembakan bedil ini juga menandakan waktu berbuka dan imsak. Bunyi tembakan bedil memang dinanti-nantikan terutama pada saat berbuka.
Mengikut sejarah, tradisi tembakan bedil bagi menandakan bermulanya puasa serta hari raya  sudah bermula berdekad yang lepas. Cuma kini ianya dipermodenkan dengan kepakaran teknologi bunga api.  Mungkin bagi generasi baru bunyi bedil tidak menanda apa-apa kerana dengan teknologi maklumat waktu berbuka dan imsak ada di tangan masing-masing menggunakan smartphone. Nostalgia bunyi bedil dibulan Ramadhan sinonim dengan penduduk kuala Terengganu.

Saturday, May 28, 2016

20 Sya'ban 1437

Ketika aku menulis catatan ini, aku berada di surau di sebuah pasaraya. Aku sedang menunggu masuk waktu Maghrib. Ramai juga orang di sini. Kalau lewat ke surau sudah tentu berasak-asak untuk berwuduk dan solat. Entah kenapa pula ramai pengunjung  hari ini. Boleh jadi ramai orang sudah mula membuat persiapan untuk hari raya... walaupun puasa lagi 10 hari akan tiba.

Bila teringat Ramadhan yang bakal disambut, Terasa gembira, juga hiba.

Aku gembira kerana kedatangan Ramadhan adalah bulan nikmat dan berkat. Setiap perbuatan baik adalah dengan pahala berlipat ganda. Setiap doa dimakbulkan dan taubat diterima. Pintu syurga dibuka seluasnya dan pintu neraka ditutup serapatnya. Iblis dan syaitan dirantai semuanya.

Suasana malam di masjid surau meriah. Ramai jemaah yang datang untuk merebut peluang berjemaah di masjid. Bunyi ketawa dan tangisan kanak-kanak menghidupkan lagi suasana di Masjid. Jangan pula cerita pasal majlis berbuka puasa dan moreh. Ramai yang tertunggu-tunggu kedatangan Ramadhan.

Begitulah besar dan mulianya Ramadhan. Maka gembiralah kita untuk menyambut Ramadhan yang penuh dengan kelebihan kurniaan Allah swt.

Namun aku terasa terharu apabila teringat kepada sahabat dan kenalanku yang terlebih dahulu kembali menemui Penciptanya dan tidak bertemu Ramadhan pada kali ini. Tentulah sambutan Ramadhan pada tahun ini berlainan kepada ahli keluarga sahabat-sahabatku ini. Ketiadaan orang yang mereka sayangi dalam menyambut Ramadhan pada kali ini memang akan begitu dirasai. Akan bertambah lagi perasaan pilu tatkala tibanya Syawal nanti.

Aku sendiri merasai kehilangan sahabat-sahabatku ini. Kini tiada lagi salam Ramadhan dari mereka. Tiada lagi cerita mengenai kesibukannya sebagai ahli jawatankuasa masjid dan berkejar kesana-sini menguruskan urusan jemaah. Semoga Allah menerima segala pengorbanan ini sebagai amal jariah.

Aku tahu berat mata memandang berat lagi bahu memikul kepada ahli keluarganya. Hanya satu yang perlu kita ingat. Yang pergi tetap pergi. Kita yang masih di sini perlu meneruskan pengembaraan dan perjuangan. Doa dari anak yang soleh dan amal jariah akan terus sampai kepada mereka yang mendahului kita bertemu Rabbul Jalil.

Oleh itu sama-sama kita rebut peluang di bulan Ramadhan ini untuk kita berdoa agar mereka yang kita sayangi sentiasa mendapat rahmat dan digolongkan bersama mereka yang beriman.

Selamat menyambut Ramadhan 1437H.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails