Tuesday, October 20, 2020

Malu-malu kucing




Betul kata orang tua, malu-malu kucing. Walaupun gambar ini dah agak lama juga, begitu bermakna kerana tingkap tersebut sudah tiada lagi. Kini diganti sepenuh dengan dinding. 

Kucing yang pemalu itupun juga sudah tiada. Yang ada hanya generasi baru yang dilahirkan kemudian.

Begitulah masa yang meniti berlalu. Yang kekal hanya kenangan. Masih segar dalam ingatan.


Monday, August 31, 2020

Merdeka untuk berimpian

Hari ini cuti umum, hari kemerdekaan Malaysia. Pagi-pagi suasana merdeka sudah pun dirasai. Merdeka dari  ada suasana “rushing” hari-hari kebiasaan. Cuti umum  pun merdeka juga namanya... merdeka membawa banyak makna.

Sudah tentu 31 Ogos adalah merdeka kepada negara daripada penjajahan kolonial. Maka kebiasaannya bermula saja 1 Ogos, dilancarkan bulan Kemerdekaan. Aku pun terlibat sama. Di sekolah anak aku, diadakan program bulan Kemerdekaan. Sebagai seorang warga Malaysia, aku terpanggil untuk sama-sama meraikannya. Di pejabat pun ada juga tetapi rancangan bulan Kemerdekaan. Sudah tentu dalam bentuk yang berlainan.

Kepada diri sendiri, makna kemerdekaan sudah tentu bergantung kepada individu. Orang yang menghargai kemerdekaan adalah kepada mereka yang melalui “ketidak-merdekaan” dalam kehidupan mereka. Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam diri kita. Namun kemerdekaan yang dari sudut kewangan dan kebebasan masa begitu  bermakna sekali. Kita tidak  dikongkong oleh pihak lain dalam menentukan keupayaan kewangan kita sendiri. Juga kita tidak terikat dengan pihak lain dari segi bila dan apa yang kita ingin lakukan. Kita inginkan kebebasan kewangan dan masa; kedua-duanya sekali. 

Kita bebas berimpian.

Thursday, August 20, 2020

Salam Maal Hijrah 1442

1Muharram 1442H.

Selamat menyambut tahun baru Hijrah bagi rakan-rakan Muslim. Semoga tahun ini kita mulakan dengan harapan dan impian yang lebih bermakna untuk diri kita sendiri, keluarga, agama, negara dan sejagat khususnya umat Islam diseluruh dunia. Juga kita doakan pada tahun 1442H dan seterusnya akan terus memberikan kejayaan demi kejayaan yang penuh bermakna dan kebaikan kepada kita semua.

Terlalu banyak untuk disusuri perkara yang terjadi pada tahun yang lepas-lepas. Walaupun perkara yang lepas patut kita jadikan teladan dan sempadan, namun yang lebih penting adalah masa hadapan kita. Covid19 masih belum selesai. Bagi setiap yang berlaku ada kebaikan dan keburukan. Kesannya pada masa sekarang mahupun pada masa yang akan datang. Juga kesan yang positif mahupun yang negatif, bergantung kepada kita untuk melihatnya.

Apa-apa pun bagi aku, aku ingin melihat kesan yang positif. Ramai orang memperkatakan tentang norma baru atau new norm. Norma baru ini terlalu luas skopnya - daripada peringkat invidua sehingga kepada polisi-polisi kerajaan, strategi-strategi perniagaan sehingga kepada hala tuju teknologi yang baru dicipata - pendekata norma baru ini merangkumi segala ruang-lingkup kehidupan kita. Kita ambil peluang untuk mengubah keadaan kepada yang lebih baik. 

Aku berpandangan, Apa yang berlaku itu ada hikmatnya. Itulah kekuasaan Allah swt. Begitu mudah untuk Allah mengubah sesuatu. Dengan hanya isu Covid19, bagaimana seluruh dunia berubah dalam sekelip mata. Bersyukurlah, kita masih dapat menikmati segala rahmat pemberian Allah swt. 

Wassalam 

Friday, April 24, 2020

Salam Ramadhan dalam PKP

PKP diumumkan untuk diteruskan dua minggu lagi sekali dengan pengumuman tarikh mula berpuasa bagi 1441h. Pada awal PKP dahulu tidak terjangka ianya melangkau Ramadhan. Sudah tentu PKP begitu banyak memberi kejutan dan sejarah baru termasuklah Ramadhan terkurung di rumah bagi keluarga aku.

Pagi ini adalah hari pertama menjalani ibadat berpuasa dalam suasana PKP. Dari segi rutin tidak ada kelainan kecuali tidak makan dan minum pada waktu siang hari. Sekejap lagi aku akan masuk pejabat. Aku masih belum dapat jangka macamana keadaan waktu bekerja. Begitu juga rutin keluarga di rumah. Maklumlah, rumahku pejabatku jua. Oleh kerana rutin ini sudah berjalan semenjak lebih sebulan yang lepas, sudah tidak menjadi hal lagi.

PKP mungkin memberi peluang untuk dipenuhi masa terluang dengan amal ibadat yang disarankan di bulan Ramadhan ini. Kini masa perjalanan sudah dapat diganti dengan seauatu yang lebih berfaedah. Masa makan boleh diganti dengan pegisian ilmu. Memang bermacam-macam cara yang kita boleh fikirkan untuk meningkatkat mutu masa di bulan Ramadhan ini.

Apa-apa pun jangan kemana-mana. #kitajagakita.

Tuesday, April 7, 2020

Meniti masa KPK

KPK sudah hampir menjangkau minggu ke-4. Kerajaan masih belum mengumumkan  samada KPK akan diteruskan ataupun tidak. Kita sama-sama ikuti perkembangan tersebut. 

Kehidupan perlu diteruskan. Bagi kami, keutamaan adalah kepada mempastikan kesihatan sendiri dan ahli keluarga berada pada tahap optimum. Bila kita bercakap tentang kesihatan, semesti kesihatan fizikal dan mental. Semua orang mesti ada cara tersendiri dan rutin yang diikuti. Ramai pakar-pakar bermusim yang timbul dengan berbagai-bagai tips dan panduan. Itulah cabarannya, information overloaded. Banyak tip dari berbagai jenis juga termasuk  fake news. Sama-sama naik di sosial media. Kalau kita tidak berhati-hati, nanti kita jadi mangsa samada kepada fake news. Yang lebih parah kita pula sama-sama menjadi agen penyebar fake news ini. Janganlah begitu. Selalu berhati-hati dan pastikan apa yang dibaca itu sahih sebelum kita viralkan. Kalau tidak pasti, padam saja mesej itu. Tidak perlu diviralkan. Tidak ada apa maknanya kalau kita viralkan kemudian memudaratkan. 

Bergantung kepada individu. Ramai antara kita memanafaatkan masa waktu KPK sebaik mungkin. Banyak waktu bersama ahli keluarga. Selain dari suasana yang riuh-rendah, semestinya kalau ahli keluarga yang ramai seperti kami, aktiviti bersama komuniti boleh dilakukan. Kebetulan saya terlibat dengan persatuan ibubapa guru disekolah. Dengan sedikit perbincangan melalui watsap dan VC dengan ibubapa yang lain, kami mengadakan satu tabung derma bagi membantu keluarga yang kesulitan akibat KPK ini. Dalam masa yang singkat sejumlah duit berjaya dikumpulkan. Sedikit sebanyak dapat dihulurkan kepada yang memerlukan.

Anak-anak kami pula, dengan kumpulan Gen-Y mereka, menggunakan teknologi digital secara percuma, mereka mengadakan book review secara live menggunakan YouTube. Mereka melakukan hanya secara suka-suka ataupun untuk fun sahaja namun, masa yang ada digunakan dengan sebaiknya. Pada waktu ini sudah sudah buku yang sudah diulas. Saya mengikuti sessi ulasan buku mereka. Sambil berseronok sebenarnya mereka mencipta pengalaman baru.

Itulah sedikit kisah dalalm KPK. Waktu tetap berjalan dan kita tetap menitinya. Kita isikannya dengan perkara yang bermanafaat.

Jumpa lagi.

Friday, March 27, 2020

Rumah adalah pejabat

Dalam meniti masa, kini sudah penghujung minggu kedua perintah kawalan pergerakan (PKP). Kerajaan pun baru umum PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Kita menerimanya dengan pasrah. Rutin PKP perlu diteruskan.

Kami sekeluarga memulakan hari seperti rutin biasa, solat subuh berjemaah dan  bersiap sedia untuk memulakan tugas harian - masuk pejabat.

Bekerja di rumah dalam PKP ini,  walaupun tidak berjumpa dengan rakan sepejabat secara bersemuka, teknologi digital tetap menjadikan urusan harian kami tidak terganggu. Malah, dalam beberapa keadaan, ianya menjadikan komunikasi lebih cepat dan cekap. 

Walau apa sekalipun, high tech tidak dapat menggantikan soft touch. Sidang video dan audio adalah platform utama dalam kerja harian selain email dan watsap. Walaupun sebelum ini kita jarang menggunakannya, dalam sekelip mata ianya menjadi alat komunikasi penting untuk urusan perniagaan.

Kita kini sedang melalui satu perubahan akibat suasana yang sedang berubah. Harapan kita ada semoga PKP akan selesai secepat mungkin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails