Wednesday, December 26, 2012

Ingatan

“Knowing is not enough; we must apply. Willing is not enough: we must do.” - anonymous

Sekadar tahu dan berilmu masih tidak cukup melainkan ilmu tersebut digunakan pada tempat sepatutnya. Keinginan dan kemahuan masih tidak bermakna apa-apa tanpa disusuli dengan usaha yang gigih.

Satu ingatan untuk diriku..... yang sedang meniti masa!

Monday, December 24, 2012

...bawah cucur atap

Aku berada di terengganu. Musim tengkujuh memuncak. Semenjak 3 hari lepas hujan turun tidak berhenti-henti. Semua aktiviti harian bagaikan terhenti.

Namun begitu pasar payang penuh sesak juga. Warung nasi dagang penuh waktu sarapan. Pelanggan beratur panjang juga di bangsal keropok. Yang pasti keropok keping (fish cracker) sudah habis stok dan yang pilihan utama susah untuk dibeli (kena tahu dimana nak dapatkan yang istimewa rasanya). keropok lekor no problem. Business as usual.

Hari ini hujan mencurah macam pili bomba pecah sejak pagi. Teringat zaman dulu-dulu main hujan musim bah. Teringin nak mandi hujan di bawah cucur atap rumah... Jom!

Friday, November 16, 2012

Masih mood bercuti

Pukul 7 pagi, 2 Muharam 1434 - masih dalam mood bercuti dan masih banyak perkara yang perlu dibereskan. Apa-apa pun pagi, suasana pagi ini diserikan dengan irama siulan unggas yang bersahutan - begitu mengasyikkan. Alhamdulillah, aku masih dikurniakan Allah untuk menikmati keindahan ciptaanNya.

Pagi Jumaat yang penuh berkat ini bagus sekira dapat dipenuhi dengan amalan-amalan sunat dan diisi ilmu pengetahuan dengan menghadiri kuliah atau pun menela'ah buku ilmiah. Aku masih cuba menghabiskan bacaan beberapa buah buku yang masih belum habis-habis dibaca. Membaca mungkin boleh dihabiskan, tetapi aku harap dapat memahami sepenuhnya dan dapat memanfaatkan darinya. Kalau aku dapat cedok sedikit sahaja dari keseluruhan apa yang pengarang ingin sampaikan pun sudah cukup bersyukur dan bermanfaat. Itulah cabaran yang selalu aku hadapi.

Aku masih meneruskan menikmati suasana pagi di sini. Sehingga jumpa lagi. Salam maal hijrah.

Wednesday, November 14, 2012

Selamat Tahun Baru 1434H

Dalam lima jam lagi kita akan menyambut tahun baru. Kepada semua rakan, terutamanya rakan Islam, aku mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriah 1434.

Pada kebiasaannya, kita sama-sama memperingati untuk membaca doa akhir tahun ketika waktu Asar diakhir tahun dan doa awal tahun waktu Maghrib diawal tahun. Pada doa akhir tahun kita disarankan untuk memohon ampun dan taubat diatas segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini. Manakala doa awal tahun menyarankan kita memohon dari Allah swt agar kita dilindungi dari godaan Syaitan dan Iblis serta dimudahkan kita melakukan perkara-perkara kebajikan.

Semoga pada tahun hadapan dan seterusnya pada tahun-tahun yang mendatang, kita dianugerahkan Illahi dengan rezeki yang melimpah-ruah lagi diberkatinya. Juga diberikan kekuatan kepada kita untuk mencapai impian dan cita-cita yang memberi manafaat kepada diri dan Agama Islam umumnya. Kita juga berdoa agar umat Islam kembali bersatu dibawah satu panji kalimah Allah. Kita memohon  dileraikan segala kebuntuan-kebuntuan antara puak-puak dan golongan-golongan dikalangan kita yang bertelagah agar umat Islam kembali bersatu dan menjadi satu kuasa yang disegani sepanjang zaman.

Sunday, November 4, 2012

AES– antara aku dan dia

Hari Jumaat lepas, aku dalam perjalanan pulang dari Port Dickson, menghampiri sisir keluar ke Tol Kajang, AES alert pada iPhone berbunyi dan aku mempastikan kelajuan dibawah had limit. Menghampiri sisir keluar tersebut kelihatan dari jauh kamera tercacak ditepi lebuhraya.

Betul-betul aku berada dihadapan kamera, mungkin tersenyum “cheese” dengan dua jari “peace”, tiba-tiba sebuah kereta dari belakang memotong kereta aku dan sudah tentu kelajuannya melebihi had limit. Kamera aktivated. Cahaya lampu flash dari kamera AES bagai kilat, menangkap gambar. Sudah pasti gambar kereta aku tertangkap sama.

Terfikir aku, bagaimana ya kalau kamera itu tidak dapat membezakan kelajuan kereta aku dan kereta yang satu lagi yang memotong kereta aku tadi – masalah juga aku nanti. Ini menambahkan lagi koleksi surat-surat saman.

Aku harap kamera AES ini cukup “intelligent” untuk membezakan pemandu berhemah seperti aku ini dan pemandu “dajal” seperti dia.

Thursday, June 14, 2012

Promosi cara bertutur bahasa Melayu yang baik

“… pemakaian lisan bahasa Melayu amat membimbangkan pada masa sekarang.” Satu kenyataan yang saya petik daripada sebuah akhbar harian Utusan Malaysia hari ini. Penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dikalangan golongan muda semakin merosot.

Saya sependapat dengan kenyataan ini. Cuma tertanya-tanya kepada diri sendiri sebab-sebab yang membawa kepada keadaan sedemikian. Merujuk kepada laporan akhbar yang sama, bahasa Melayu sudahpun disenaraikan sebagai warisan negara di dalam Akta Warisan,  Namun, terletaknya bahasa Melayu didalam senarai tersebut tidak menjamin ataupun tidak menjadikan bahasa Melayu yang betul akan diguna-pakai.

Untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul, kerajaan bersama dengan agensi dan NGO tertentu akan mengadakan promosi supaya orang ramai menggunakan bahasa dengan betul. Namun tidak pula dilaporkan apa bentuk promosi yang akan dijalankan.

Bahasa Melayu, di negara orang Melayu, majoritinya orang Melayu, bahasanya diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan juga disenaraikan sebagai warisan negara, telah diguna pakai semenjak berzaman, tetapi kini menghadapi masalah penggunaan dalam pertuturan secara yang tidak betul. Apa lagi yang boleh kita perkatakan? Siapa yang kita hendak persalahkan?

Semua orang boleh bertanya dan mempersoalkan perkara sedemikian. Hakikatnya berbalik kepada pewarisnya iaitu kita orang Melayu. Perubahan zaman mungkin merubah keadaan. Kata orang bahasa perlu berubah mengikut keperluan zaman. Teknologi baru diperkenalkan terutamannya ICT dan media komunikasi seperti telefon bimbit dan tablet. Juga aplikasi Internet yang bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mempengaruhi cara berkomunikasi. Pendek kata, sekira kita hendak ambil kira alasan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul, satu gunung alasan boleh kita kumpulkan dan berbagai pihak mungkin dipersalahkan.

Sebenarnya tidak perlu berbuat sedemikian. Keputusannya ditangan kita. Kita adalah penggunanya. Oleh yang demikian, sekiranya bahasa salah penggunaan, atau tidak digunakan langsung didalam sebarang urusan, hakikatnya kita sendiri yang menentukan.

Jadi untuk membetulkan keadaan, keadaan itu adalah kita. Oleh itu betulkan diri kita sendiri terlebih dahulu……

Friday, April 20, 2012

Hilang sudah moral dan kemanusiaan?

Tidak selalu saya membaca sebuah akhbar Melayu yang selalunya membawa berita sensasi yang agak panas. Kebetulan sebelum masuk tidur, saya sempat melayari ebrowse, akhbar digital online, dan membelek-belek akhbar tersebut.
Pada satu paparan, headline bertajuk “Jual bayi di bar” dan lagi satu bertajuk “Ibu dagang zuriat cacat.” Aduh, terasa kasihan kepada bayi-bayi tersebut. Anak siapakah yang dicoleknya? Apa pula perasaan ibubapa bayi tersebut yang kehilangan bayi tersayang. Macamana pula abang dan kakak mereka. Sudah tentu hiba dan sayu dengan kehilangan adik mereka yang masih bayi.
Betapa rendahnya martabat mereka yang bergelar manusia ini tetapi sanggup melakukan perkara sedemikian. Dari laporan itu, satu kes melibatkan rakyat Myanmar dan satu kes lagi melibatkan seorang ibu rakyat tempatan. Mereka yang terlibat dalam kedua-dua kes ini ditangkap oleh pihak berkuasa.
Bukan tujuan saya untuk mengupas kejadian atau kes ini, tetapi sekadar melepaskan rasa marah dan geram kepada mereka yang terlibat. Bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa. Mereka, sekiranya tidak tertangkap, sudah tentu mengaut keuntungan beribu ringgit.
Bila duit semata menjadi pegangan dan tujuan, halal dan haram bukan lagi sempadan, maka tidak apa lagi yang membatas kelakuan dan tindakan seseorang. Mereka sanggup mempedagangkan apa saja dan sanggup menggadai kasih-sayang yang sebenarnya tidak dapat dibayar dengan sebarang harga wang ringgit.
Selamat malam.

Thursday, March 8, 2012

Another Day

Another day went by without making me closer to my dream. Oh no, I need to be more person of integrity to myself and to my promise. May Allah give me strength!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails