Saturday, November 8, 2014

Hujan yang turun

Hujan turun pagi Sabtu..... Aku diantara hujan, waktu pagi dan perasaan malas. Waktu Dhuha baru saja bermula. Untuk melakukan kerja luar rumah dengan keadaan lembab sebegini bukan dalam fikiran. Kalau sambung tidur mungkin juga, tetapi bukan dalam senarai urusan pagi ini. Lupakan!

Malam tadi Aisyah sudah ingatkan aku ada perjumpaan dengan ustazahnya dan mengambil report kad pada pagi ini di sekolah agamanya. Memang itu satu perkara yang bapa seperti aku mesti pergi tetapi bahagian bersembang dengan ustazah tu aku serahkan pada mamanya. Wanita lebih arif bila bersama dengan wanita! 

Pagi-pagi pun whatsapp dan telegram sudah bertalu-talu bunyinya. Apalah dia orang ini, tak ada kerja lain ke pagi-pagi ini selain whatsapp dan telegram... Tahu tak kita ini banyak sangat bazirkan masa, terutamanya masa yang berkualiti yang sepatutnya kita gunakan kepada perkara berfaedah seperti membaca ataupun bersama keluarga, tetapi masa tersebut dicuri oleh whatsapp dan telegram. Dulu aku pun sama-sama terjerat dengan whatsapp dan telegram, tetapi bila aku tersedar, aku lebih berdisiplin dalam menggunakan aplikasi seumpama. Semuanya hanya alat. Samada kita guna untuk kebaikan atau sebalik, semuanya hak kita untuk melakukannya!

Hujan sudah berhenti... Dan aku pun berhenti disini dulu.

Thursday, October 30, 2014

Selamat Maal Hijrah 1436

Awal Muharam mengingatkan aku sudah lebih setahun aku kembali ke tanah air dari menjadi tamu Allah di bumi Mekah. Aku dan isteri berangkat ke tanah suci Mekah pada akhir Oktober 2013 bersamaan Zulhijjah 1434. Kesyukuran tidak terhingga kepada Allah swt kerana atas rahmatNya aku selamat mengerjakan fardu haji bersama isteri tercinta.

Setelah setahun kembali ke tanah air, cabarannya adalah bagi menyambung segala tarbiyah haji ke dalam penghidupan harian. Pesan rakan-rakan haji dan ustaz-ustaz yang bersama semasa di Mekah, cabaran dan ujian dari Allah boleh datang pada bila-bila masa. Mungkin datangnya ujian semasa di bumi Mekah atau Madinah, ataupun mungkin juga setelah pulang ke tanah air kelak. Allah menguji hambanya bagi mengangkat martabat di sisinya.

Aku memohon agar Allah tidak menguji aku dan keluarga dengan ujian yang tidak dapat dipikul oleh kami.  Juga aku memohon dari Allah permudahkan segala urusan dalam kehidupanku. Seterusnya sentiasa berada dibawah lembayung rahmatMu.


Saturday, September 6, 2014

Post Demam Denggi


Sudah seminggu aku keluar dari hospital, tubuhku masih rasa tidak bermaya. Ketika sessi follow up dengan doktor, laporan ujian darah menunjukkan progress yang positif. Jumlah platelet darah sudah meningkat. Namun keadaan liver masih belum pulih sepenuh.

Keadaan ini menyebabkan bahagian perut terasa tidak selesa. Terasa kembung dan ber-gastrik. Aku berharap ubat-ubat yang aku ambil ini membantu mengurangkan keselesaan. 

Besok hari minggu. Sehari lagi untuk aku berehat sebelum masuk semula ke pejabat. Aku harap kesihatan bertambah baik untuk aku menjalani kehidupan harian seperti biasa. InsyaAllah!


Wednesday, September 3, 2014

"Honey Lemon" yang menyegarkan

Setelah empat hari keluar dari hospital akibat diserang demam denggi, kesan dari demam masih terasa. Doktor menasihatkan untuk berehat sepenuhnya. Apabila seseorang diserang demam denggi,  ia mengambil masa yang panjang untuk tubuh pulih seperti sediakala.

Aku bersyukur kepada Allah swt.  Sepanjang masa aku berada di hospital, sokongan dari semua terutamanya isteri tersayang dan anak-anak begitu kuat. Saudara mara dan sahabat handai yang tidak putus-putus mengutus salam dan doa. Cik dan Bak bersusah-payah mengambil flight dari kampung semata-mata datang untuk menziarahiku di hospital. Mak dan ayah mertua tidak putus-putus bertanya khabar dan berdoa. Adik-beradik yang dekat dan jauh semuanya mengambil cakna. Ya Allah, aku hanya kepadaMu aku bersyukur diatas keperihatinan mereka semua. 

Di rumah kini aku beristirehat. Isteriku tersayang dan anak-anak sentiasa disampingku. Aku merasa begitu senang sekali dengan mereka semua berada disisiku. Seolah-olah tidak ada kepenatan bagi mereka didalam sama-sama mengharungi jerit-perih keadaan selepas balik dari hospital. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing... Aku sentiasa memohon limpah rahmat dan keberkatan ke atas keluargaku.

Along sentiasa menghidangkan yang teristimewa... Honey Lemon yang menyegarkan!


Saturday, July 12, 2014

Menelusuri Ramadan

Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, suka memberi keampunan. Maka ampunilah aku.

Ramadan sudah pun menghampiri penghujung minggu kedua. Kedatangannya dulu dialu-alukan dan dinanti-nantikan. Kedatangan membawa bersamanya keampunan (maghrifah), rahmat dan pembebasan dari api neraka ('itqun minnannar).

Kini sudah menelusuri kepertengahan bulan. Hampir dua minggu Ramadan sudah beredar. Sebaiknya kita mengada reality check. Dimanakah kita sekarang ini didalam menghidupkan syiar Ramadan dan menerima tawaran Allah sebagai bulan yang  penuh maghrifah dan rahmat. Sekurang-kurangnya kita masih ada lagi dua minggu untuk memperbaiki amalan sekiranya kita rasakan kita masih kemana-mana dari segi amalan harian.

Bagi diri ini, aku masih di takuk lama, masih dengan gear satu, tiada peningkatan dari hari pertama Ramadan. Ramadan datang dengan berbagai ujian. Aku disibukkan dengan urusan dunia yang memang tidak berkesudahan selagi aku masih berada di dunia ini. 

Urusan pejabat  dan juga urusan yang tidak berkait dengan pejabat, semuanya meragut waktu dan peluang untuk aku melakukan amalan-amalan khusus yang afdal pada bulan Ramadan. Terasa begitu rugi kerana membiarkan masa berlalu tanpa mengoptimumkan ganjaran yang dijanjikan Allah.

Aku harap minggu ketiga nanti akan menjadi batu loncatan bagi membina momentum kepada sepuluh malam terakhir. Jom kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki amalan kita di bulan yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran. Semoga amalan kita diterima Allah sebagai amalan kebajikan. 

Amin!





Sunday, June 29, 2014

Penantian

Setengah jam terakhir sebelum berbuka puasa.... 

Masing sudah mula bercerita mengenai makan. Aisyah yang bongsu bertanya berbuka puasa makan apa hari ini. Syahmi, abang yang akan pergi ke asrama pula sedang berkira-kira apa nak di bawa ke asrama nanti untuk makan selepas berbuka. Kakak Humaira sudah pesan untuk bawa buah dragon fruit ke asrama malam ini. 

Selepas terawih akan bermula pula projek menghantar ke asrama. 

Dalam pada itu, dari mesej watsap keluarga, muncul gambar kueh manisan nekbat... Kueh tradisional Terengganu. Kueh ini selalunya muncul hanya pada Ramadan. 



Nekbat rasanya berlainan, bergantung pada citarasa masing-masing. Aku menanti nekbat cirarasa air tangan bondaku...

Penantian masih belum berakhir....

Saturday, June 28, 2014

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan 1435

Alhamdulillah, Allah masih tentukan aku masih bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. 

Aku berada di surau al Munir berhampiran dengan taman perumahanku. Malam pertama Ramadhan, disurau penuh padat dengan jemaah. Pengerusi surau menyampai ucapan menyambut Ramadhan. Solat sunat Taraweh sekejap lagi akan diadakan. Aku menanti dengan penuh sabar...

Monday, June 23, 2014

Berbudi pada tanah



Hasil bila berbudi pada tanah. by Saiful Jusoh on Flickr.

Just follow this link to see and comment on this photo:
http://flic.kr/p/nUv1pK



Jambu madu yang ditanam dihalaman rumah mula memberi hasil. Walaupun tidak banyak buah dihasilkan, namun beberapa tangkai yang sudah masak, rasanya buahnya begitu manis.

Alhamdulillah, bila usaha mula memberi hasil, hati puas. Susah senang menanam dan menjaga selama hampir dua tahun tidak perlu diungkitkan lagi.

Begitulah kehidupan. Tidak ada kejayaan datang begitu sahaja tanpa susah-payah dan kesabaran menghadapi cabaran. Namun apabila kejayaan sudah tercapai, segala cabaran dan halangan yang berjaya dirempuh dijadikan pengajaran dan teladan.

Apabila pokok jambu ini mula berbuah, bermakna cabaran baru bakal tiba. Pokok masih perlu dijaga. Baja yang sesuai perlu diletakkan. Dari bunganya lagi perlu dijagai agar tidak dirosakkan ulat ataupun serangga. Lebih usaha dan perhatian diperlukan. Apabila berbuah, Ini hanyalah permulaan kepada era baru.

Tidak banyak beza dengan kehidupan kita. Tidak ada erti kejayaan mutlak kerana kehidupan terus berjalan dan cabaran yang dihadapi berlainan pada setiap masa. Oleh itu kita perlu dibajai dengan iman dan terus disuburkan dengan ilmu dan pengetahuan yang berkaitan dan memberi manafaat kepada diri sendiri dan sesiapa yang bersama kita.


Sunday, June 22, 2014

Teh "O" Ais Limau



Memang menyejukkan terutamanya dalam cuaca yang panas seperti sekarang ini. Minuman sejuk berais seperti ini memang nyaman sekali. Tidak kira siang atau malam, mungkin bahang el Nino, teh O ais juga jadi pilihan.

Tapi tak perlu bimbang, el nino kali ini tidak extreme 












Tuesday, June 3, 2014

Mengerja amal soleh

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri?"

(Fussilat : 33)

Aku berserah kepadaMu ya Allah. Semoga aku dapat memanafaatkan sesuatu untuk dijadikan sedekah jariah dan amalan yang berterusan walaupun sesudah aku pergi selamanya.


Monday, February 17, 2014

Balik kampung

Apa nak dibuat sekarang? Baca online newspaper pun berkisar tentang politik - Selangor - ada yang kesuntukan masa untuk mengejar impian!

Lagi 20 minit kami akan mendarat di Kuala Terengganu. Penumpang di sekeliling kebanyakan sibuk dengan hal masing-masing. Aku mula membuka ipad bila isyarat alat elektronik dibenar untuk digunakan tetapi "strictly in flight mode" sahaja. Pilot baru buat pengumuman kami berada pada 27000 kaki dari aras laut dan mendoakan keselamatan dan keselesaan penumpang.

Melayan ipad pun membosankan. Penerbangan pendek ini tidak ada apa-apa sangat yang sempat dibuat. Mungkin berbual dan menambah networking idea yang lebih baik. Penumpang di sebelah aku adalah dua orang wanita, juga sibuk bersembang. Mungkin pegawai eksekutif sesebuah syarikat. Kedengaran seorang dari mereka merancang untuk membawa balik nasi dagang bila balik ke Kuala Lumpur kelak. Bisik hatiku, Ini mesti penggemar tegar nasi dagang. Aku rasa mereka tidak tahu ada terdapat nasi dagang dijual di Kuala Lumpur yang rasanya setanding, kalau tidak lebih lazat, dan seasli yang dijual di Terengganu.


Tidak berapa lama di udara, peramugari menghidang minuman jus.  Jus epal pilihanku, jarang sebenarnya aku mengambil jus epal. Tidak tahu kenapa kali ini aku meminta jus epal. Apa-apa pun tak kisahlah.

Sedang aku menikmati minuman dan "menyelak" helaian online newspaper (lawati http:www.ebrowse.com.my untuk pengalaman surat khabar maya), aku terdengar seperti penumpang di sebelah menyapaku, "nak balik kampung ke?"



Di sebelah kananku, seorang pakcik kelihatan dengan anak dan cucunya tersenyum pada aku. Terus aku meletakkan ipad.

"Ya balik kampung." Jawabku ringkas.

Rupanya pakcik disebelah aku ini tidak sihat kerana diserang angin ahmar atau stroke. Dah lebih setahun katanya beliau diserang penyakit ini. Kini dalam perjalan pulang ke Manir, sebuah kampung di Kuala Terengganu. Kampung ini terletak di tepi sungai Terengganu, terkenal dengan penghasilan buah tempatan duku Terengganu. Sudah beberapa bulan berada di Kuala Lumpur menziarahi anak cucunya.

Kagum aku melihat ketabahan pakcik ini. Keadaannya sudah semakin baik dibanding ketika mula diserang setahun dulu, katanya sambil tangan kanan mengelap tepi mulutnya dengan tuala kecil. Walaupun sebutannya tidak berapa jelas, aku faham dengan sebutan loghat Terengganunya. Aku terbayang, betapa tabahnya pakcik menghadapi semua ini. Lebih tinggi lagi pengorbanan ahli keluarganya yang memberi sokongan kepada pakcik ini. Itulah cabaran kehidupan.

Sekejap kemudian pilot mengumum saat landing sudah hampir tiba. Aku habiskan jus dan gelas kosong dikutip oleh peramugari. Setelah mendarat, aku bersedia untuk bergerak keluar. Dengan susah payah pakcik menghulur tangan bersalam denganku sambil tersenyum. Aku terharu. Semoga pakcik cepat sembuh dan Allah limpahkan balasan setimpal dengan ketabahan dan kesabaran menempuh ujian kehidupan ini. 




Friday, January 31, 2014

Kembali ke sini

Rupanya sudah hampir setahun saya tidak mengemaskini ruangan blog ini. Bukannya tidak ada perkara yang hendak diutarakan (kenapa utara ya?), malah mungkin banyak sehingga tak tertulis. Inilah akibatnya apabila terlalu menurut kata hati. Setiap kali memulakan penulisan, dikala itu jugalah hati membisikkan - siapa nak baca, apa orang kata, tak sesuailah, aku bukannya penulis dan bermacam-maxam lagi - akhirnya ianya tinggal sebagai "draft" saja. Apabila setahun berlalu tanpa sebarang  cerita baru pada blog ini, betapa ruginya saya rasakan membiarkan masa berlalu begitu sahaja.

2014 masih diawal tahun. Semangat tahun baru masih hangat dalam naluri. Hati kecil sekali lagi membisikkan - ayuh terus turun digelanggang blog ini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails