Dunia kanak-kanak hanyalah bermain dan bergembira. Kita orang dewasa boleh memahami dunia mereka duduk bersama mereka dan meluangkan masa bersama mereka. Ini seolah-olah menjadikan kita balik kezaman kanak-kanak semula seperti anak-anak kita. Itulah juga satu kepuasan bagi anak-anak kita.
Sayang atau “love” dieja M.A.S.A atau T.I.M.E dalam BI. Apa-apa sekalipun ia memberi maksud yang serupa. Masa yang kita gunakan untuk bermain atau bersama anak kecil kita begitu bermakna. Masa tersebut berlalu hanya sekali seumur hidup anak tersebut. Apa yang kita lalui dan pengalaman yang kita alami pada ketika itu tidak akan berulang lagi seumur hidup kita.
Pengalaman saya sendiri mengiyakan bahawa sekira kita tidak mengambil kesempatan untuk bersama anak semasa ianya masih kecil, kita akan menyesal bila anak tersebut sudah berada pada tahap umur yang lebih meningkat. Disatu ketika nanti apabila anak kita sudah meningkat dewasa, kita akan cuba membayangkan saat ketika ia masih kecil dahulu dan bagaimana kita merindui gelak-ketawa dan senda-gurau bersama mereka. Suasana riang itu hanya ada sekiranya kita memang melalui saat manis bersama mereka pada masa yang lepas. Sekiranya tidak, ia bergantung kepada keadaan samada boleh atau tidak kita mengganti semula saat-saat tersebut dengan peluang yang akan datang. Bagi setengah dari kita, mungkin masih terlalu lewat.
Bagi saya, semuanya masih belum terlambat. Segala kesempatan yang ada akan saya gunakan untuk membentuk satu keluarga yang harmoni dalam suasana yang positif. Yang pasti, suasana positif bermula dengan kita yang berfikiran positif. Membentuk fikiran positif, kita harus memupuk segala yang datang kepada kita kedalam suasana yang positif dan menghindarkan fikiran dari dilingkungi oleh perkara-perkara yang negatif.